Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025
18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025
8) SMART SELANGOR
Tahun: 2025
Sesi: 1
Isu: n/a
Adun: Y.B. Puan Pua Pei Ling
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Sejauhmanakah jayanya sasaran Smart Selangor untuk menjadikan negeri Selangor sebagai Negeri Pintar yang terbaik di ASEAN menjelang tahun 2025?
Program Smart Selangor telah menjadi asas kepada pembangunan ekosistem digital Negeri bagi memastikan Selangor terus mendepani pembangunan negeri pintar di ASEAN. Pada ketika ini, SSDU Innovations Sdn Bhd (SSDU) sedang dalam proses menjalankan Penilaian Impak bagi mengukur kejayaan dan sasaran program Smart Selangor dan ianya dijangka siap pada April 2025.
-
Apakah langkah yang diambil oleh kerajaan negeri untuk memastikan rakyat Selangor, termasuk komuniti yang kurang berkemampuan, dapat turut serta dalam transformasi digital yang diperkenalkan melalui Smart Selangor?
Inisiatif-inisiatif Smart Selangor telah dirancang dan dilaksana secara menyeluruh tanpa mengecualikan komuniti yang kurang berkemampuan atau komuniti yang tinggal di luar bandar bagi memastikan agenda transformasi digital Kerajaan Negeri dapat dinikmati oleh kesemua golongan rakyat.
Liputan Rangkaian 4G dan 5G
Dari segi penyediaan infrastruktur digital, internet berkelajuan tinggi 4G di Selangor juga bakal dinaik taraf kepada 100 megabit sesaat (Mbps) secara purata berbanding 47 Mbps semasa.
[https://selangorjournal.my/2023/11/selangor-targets-100-per-cent-5g-coverage-by-2025/]
Selain itu, Kerajaan Negeri juga telah bekerjasama dengan Digital Nasional Berhad (DNB) dan pihak-pihak berkepentingan utama bagi memastikan capaian rangkaian 5G di kawasan berpenduduk (COPA) adalah 100% pada penghujung tahun ini. Untuk makluman, sehingga penghujung Disember 2024, Selangor telah mencapai kadar 97%.
[https://selangorkini.my/2025/01/exco-sasaran-liputan-5g-di-seluruh-negeri-tahun-ini/?utm_source=dlvr.it&utm_medium=facebook]
Program Jelajah Bersama Komuniti
Selain daripada kemudahan internet, program-program bersama komuniti turut giat dijalankan bagi mendidik rakyat di Selangor menggunakan kemudahan aplikasi atas talian untuk mengakses perkhidmatan umum dan berbayar Kerajaan Negeri. Selain memberi kesedaran terhadap kemudahan yang dibangunkan, sebagai contoh di Program Jelajah Saya Digital pada Ogos 2024, SSDU bersama anak-anak syarikat lain seperti KDEB Waste dan Air Selangor mendekati rakyat di Selangor telah turun padang untuk mendapatkan maklum balas dan memberi pendedahan menggunakan teknologi digital iaitu aplikasi-aplikasi yang dibangunkan di bawah Kerajaan Negeri Selangor. Turut tidak ketinggalan adalah program mendekati komuniti di setiap daerah dengan kerjasama bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Pejabat Daerah dan Tanah Negeri (PDT) bagi menggalakkan rakyat menggunakan aplikasi untuk membuat pembayaran cukai taksiran dan menggalakkan pembayaran cukai tanah dan petak secara nirtunai.
Kerjasama bersama Pihak Institusi Pengajian Awam
SSDU juga turut membantu kerajaan Negeri Selangor bekerjasama dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk membangunkan Anjung Digital Smart Selangor di Bangi dengan hasrat memperkasa komuniti pintar melalui agenda program Smart Selangor. Dengan adanya medium di peringkat universiti, dipercayai usaha galakan transformasi digital di peringkat komuniti pendidikan tinggi dapat dipergiatkan dan mampu menjadi gerbang utama kepada aspek pendigitalan negeri.
-
Bagaimanakah sektor awam, terutamanya perkhidmatan kerajaan negeri, dimodenkan dan ditingkatkan melalui penggunaan teknologi digital bagi mempermudah pengurusan dan mempercepatkan perkhidmatan kepada rakyat?
SSDU Innovations Sdn Bhd (SSDU) amat komited dalam membantu Kerajaan Negeri dengan teknologi pendigitalan bagi meningkatkan kelancaran pentadbiran Negeri Selangor terutamanya dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat di Selangor.
Antara usaha yang dimodenkan dengan penggunaan teknologi digital ialah dengan membangunkan satu gerbang perkhidmatan aplikasi elektronik berpusat (e-payment) yang dinamakan sebagai Citizen E-Payment (CEPat).
Platform ini merupakan alternatif secara atas talian yang diintergrasikan dengan portal perkhidmatan pintar CEPat bagi membolehkan rakyat Selangor mengakses perkhidmatan-perkhidmatan berbayar dan umum Kerajaan Selangor seperti perkhidmatan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan dan Agensi-agensi Kerajaan Negeri.
Antaranya seperti Cukai Taksiran, Cukai Tanah dan Petak, Kompaun, Lesen, Sewaan, Fi Parkir dan Scan To Ride untuk menaiki Bas Smart Selangor.
Terbaharu, SSDU telah menjalinkan kerjasama strategik bersama Perbendaharaan Negeri Selangor melalui satu inisiatif digital dengan memperkenalkan perkhidmatan ‘Sistem Bil dan Pembayaran’ bagi memudahkan rakyat Selangor membuat semakan dan bayaraan untuk sepuluh (10) Jabatan-Jabatan seperti berikut:
- Perbendaharaan Negeri Selangor (PNS)
- Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (PSUK)
- Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Selangor (DVS)
- Jabatan Pertanian Negeri Selangor (DOA)
- Jabatan Perikanan Negeri Selangor (DOF)
- Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS)
- Jabatan Kerja Raya Selangor (JKRS)
- Jabatan Pendakwaan Syariah Selangor (JPSS)
- Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS)
- Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS)
Selain daripada aplikasi CEPat, terdapat juga aplikasi lain yang dibangunkan menerusi program Smart Selangor bagi memudahkan masyarakat berurusan, mendapatkan perkhidmatan atau melaksana perkhidmatan pembayaran. Ini termasuklah aplikasi Selangor Intelligent Transport System (SITS), Scan-To-Ride (STR) dan Smart Selangor Parking (SSP).
Perkhidmatan Kerajaan Negeri juga turut diperkasa terutamanya di dalam aspek pengurusan bencana bagi memastikan usaha pemantauan, pencarian dan menyelamat dapat dilakukan dengan pantas dan efektif menerusi kemudahan infrastruktur yang dilengkapkan dengan teknologi digital. Ini telah dizahirkan menerusi pembangunan Smart Selangor Operations Centre (SSOC) dan juga District Disaster Operations Centre (DDOC) di kesemua Sembilan (9) daerah di Selangor.
Di samping itu, sistem e-MMKN juga turut dibangunkan bagi kegunaan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, membawa era baharu bermesyuarat menggunakan teknologi digital, meningkatkan tahap produktiviti dan sekaligus menyumbang kepada kelestarian persekitaran.