Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025
18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025
6) STATISTIK KES HAMIL LUAR NIKAH
Tahun: 2025
Sesi: 1
Isu: n/a
Adun: Y.B. Puan Pua Pei Ling
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah statistik terkini jumlah kes hamil luar nikah di kalangan rakyat Selangor?
Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Negeri Selangor tidak mempunyai data jumlah kes hamil luar nikah. Walau bagaimanapun, JPN bertanggungjawab mendaftarkan kelahiran anak-anak tidak sah taraf di bawah Seksyen 13, Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299). Statistik jumlah kelahiran anak tidak sah taraf yang telah didaftarkan di Negeri Selangor pada tahun 2024 adalah sebanyak 3,634 kelahiran.
-
Apakah usaha dan langkah yang diambil Kerajaan Negeri bagi mengatasi isu ini?
Kerajaan Negeri telah melaksanakan pelbagai program bagi mengatasi gejala kehamilan luar nikah. Antara program yang dilaksanakan adalah seperti berikut:
Program Advokasi Perlindungan Kanak-kanak: Kasih Kanak-kanak
Kerajaan Negeri melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan telah mengadakan Program Advokasi Perlindungan Kanak-kanak Negeri Selangor pada 30 November 2023 di tiga (3) buah sekolah di Daerah Sepang. Program ini juga telah mendapat kerjasama daripada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor. Bagi tahun 2024, JKM telah meneruskan program ini dengan 30 buah sekolah di semua Daerah dalam negeri Selangor.
Program ini bertujuan untuk memberi pendedahan dan pengetahuan kepada kanak-kanak dalam aspek keselamatan serta perlindungan kanak-kanak yang mana antara pengisian program ini memberi pendedahan berkaitan sentuhan selamat dan sentuhan tidak selamat serta Klik dengan Bijak.
Perkhidmatan Khidmat Nasihat dan Kaunseling
Perkhidmatan ini turut disediakan kepada ibu di bawah umur atau wanita yang mengandung luar nikah. Seramai 23 orang Pegawai Psikologi di Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri (JKMN) dan Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) sentiasa bersedia untuk membantu kanak-kanak dan ahli keluarga yang traumatik. Remaja dan wanita yang mengandung luar nikah juga boleh mendapatkan khidmat nasihat dan kaunseling melalui Talian Kasih 15999 bagi mengelakkan mereka daripada terjebak dalam aktiviti pembuangan bayi. Talian ini beroperasi 24 jam sehari sepanjang tahun.
Pemerkasaan Institusi Kekeluargaan
Pemerkasaan institusi kekeluargaan dilaksanakan bagi memastikan tiada pengabaian terhadap anak-anak yang menyebabkan berlakunya gejala yang tidak diingini. Kerajaan Negeri dengan kerjasama Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) telah melaksanakan Program Digital Parenting yang bertujuan mendidik ibu bapa mengenai kaedah penggunaan teknologi digital yang selamat serta melindungi anak-anak daripada pengaruh media sosial yang tidak sihat.
Selain itu, Program Terapi Minda: KASIH Keluarga Ceria bagi memastikan kesejahteraan keluarga menerusi pembangunan diri ibu bapa dan remaja. Sehingga Oktober 2024, seramai 700 orang peserta daripada kalangan ibu bapa dan remaja berusia 13 tahun ke atas telah mendapat manfaat daripada kedua-dua program ini.
Bagi tahun 2025, Kerajaan Negeri akan melaksanakan sambutan Bulan Keluarga Selangor dengan Kerjasama LPPKN bagi mengadakan kempen pengukuhan institusi kekeluargaan. Selain itu, kempen keganasan berasaskan gender akan dilaksanakan oleh Wanita Berdaya Selangor (WBS) pada sepanjang tahun 2025 yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran awam tentang keganasan rumah tangga dan gangguan seksual yang berlaku terutama kepada wanita dan remaja perempuan. Kerajaan Negeri juga akan melaksanakan siri jelajah yang menyediakan pelbagai aktiviti pemerkasaan keluarga terutamanya dalam mengetengahkan peranan bapa dalam melindungi keluarga, kepentingan tanggungjawab bersama, pendidikan literasi digital untuk anak-anak dan sebagainya.