Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025
18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025
365) JAJARAN REL KITA SELANGOR
Tahun: 2025
Sesi: 1
Isu: n/a
Adun: Y.B. Tuan Chua Wei Kiat
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Nyatakan maklumat terperinci mengenai Jajaran Rel Kita Selangor.
Jajaran Rel Selangor merupakan cadangan jajaran keretapi yang akan menghubungkan Utara Selangor hingga ke Selatan Selangor merentasi Sabak Bernam, Shah Alam/ Klang dan Sepang sehingga ke Labu, Negeri Sembilan dan akan menambahbaik ekosistem rel di Negeri Selangor. Sehingga kini, kajian yang dilaksanakan telah mengenalpasti jajaran utama 200km, dengan empat cadangan jajaran sokongan atau spurline iaitu Westport, Klang, Putra Heights, dan UNISEL Bestari Jaya. Kajian ini mempertimbangkan kedua-dua jenis perkhidmatan penumpang dan kargo yang akan mengurangkan tempoh masa perjalanan pengguna dari kawasan Utara dan Selatan Selangor ke kawasan-kawasan tumpuan dengan kelajuan 160 kph. Contohnya, pengguna dianggarkan mengambil masa 1 jam 42 minit dari Sabak Bernam ke KLIA menggunakan Rel Selangor berbanding 2 jam 41 minit jika memandu di atas jalan raya.
-
Bilakah projek ini akan bermula dan bila ia dijangka beroperasi untuk masyarakat?
Kerajaan Negeri Selangor adalah dalam proses pelaksanaan Kajian Kebolehlaksanaan Jajaran Rel Selangor bagi memastikan cadangan jajaran adalah berdaya maju untuk dilaksanakan. Pada masa ini, kajian tersebut berada dalam fasa akhir dan hasil kajian dikemukakan kepada Kementerian Pengangkutan untuk mendapatkan maklumbalas dan hala tuju daripada pihak Kerajaan Persekutuan berhubung cadangan pembangunan Jajaran Rel Selangor.
Projek ini akan bermula setelah mendapat persetujuan daripada Kerajaan Persekutuan memandangkan pembinaan jajaran keretapi adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan merujuk kepada Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) Subseksyen 83(2) dan bergantung kepada kaedah pembiayaan yang tidak membebankan kewangan Kerajaan memandangkan kos pembinaan, pengoperasian dan penyelenggaraan rel adalah tinggi.
Anggaran tempoh pembinaan Jajaran Rel Selangor adalah sepuluh (10) tahun secara berperingkat, yang melibatkan pelbagai fasa iaitu Reka Bentuk Awal dan Paparan Awam (Public Display); Permohonan Skim Kereta Api Bersyarat kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Badan Berkaitan; Pemeriksaan Awam dan Pengenalpastian Maklumbalas; Penyediaan Reka Bentuk Terperinci; Persediaan bagi Pelaksanaan Tender, Pengambilan Tanah dan Proses Perbicaraan Tanah; Fasa Pembinaan dan Pengintegrasian Sistem; serta Sesi Pengujian dan Pentauliahan.
-
Kawasan manakah yang akan terlibat dalam jajaran rel ini?
Sepertimana yang dimaklumkan, kawasan yang terlibat dengan cadangan Jajaran Rel Selangor meliputi kawasan Utara Selangor ke Selatan Selangor, di mana kawasan Utara Selangor menghubungkan Shah Alam, Klang, dan Kuala Selangor, serta dipanjangkan ke Tanjung Karang, Sekinchan, dan Sabak Bernam. Manakala kawasan Selatan Selangor yang dicadangkan adalah jajaran yang menghubungkan Sepang, Banting, dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan Shah Alam dan kawasan perbandaran lain yang berdekatan.