Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025

18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025

336) PROJEK PKNS

Tahun: 2025

Sesi: 1

Isu: n/a

Adun: Y.B. Tuan Dr. Afif Bin Bahardin

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. PKNS bercadang untuk membangunkan SA Sentral dan Dataran PKNS, apakah sumber pembiayaan utama PKNS untuk projek ini yang bernilai RM2 bilion? Apakah kepakaran dalaman PKNS dalam pengurusan projek berskala besar, khususnya dari segi perancangan bandar, teknologi hijau dan kelestarian?

    Pembangunan SA Sentral dilaksanakan secara berfasa. Fasa awal pembangunan melibatkan penjualan unit-unit kediaman berkonsepkan `Transit Oriented Development’ (TOD) yang memberi pulangan segera kepada PKNS. Keuntungan yang diperolehi daripada fasa awal pembangunan ini akan membiayai komponen pembangunan SA Sentral selanjutnya.

    PKNS turut mengenalpasti dan membuka peluang usahasama (joint venture) dengan syarikat yang berkemampuan bagi turut sama membangunkan SA Sentral.

    Usaha-usaha ini adalah bertujuan mengurangkan risiko bebanan kewangan PKNS dalam jangka pendek dan jangka masa panjang.

    Seterusnya, kepakaran dalaman PKNS adalah seperti berikut:

    i) Perancangan Bandar

    Berdasarkan pengalaman lebih 60 tahun, PKNS telah berjaya membangunkan lebih daripada sepuluh bandar baru bersepadu yang merangkumi projek perumahan, komersial, perindustrian serta infrastruktur yang mampan. Kakitangan professional di Jabatan Teknikal dalaman PKNS dilihat mempunyai keupayaan untuk merancang dan mengurus projek pembangunan ini dengan baik.

    Bagi memastikan pelaksanaan pembangunan ini berjalan lancar, Pejabat Projek PKNS Signature telah ditubuhkan sebagai sebuah jabatan khas yang bertanggungjawab sepenuhnya terhadap projek ini. Selain itu, Jawatankuasa Kerja turut dibentuk dengan keanggotaan wakil-wakil dari Pihak Berkuasa Tempatan dan Ahli Majlis bagi memastikan pematuhan kepada peraturan dan keperluan setempat.

    Sebagai langkah strategik, Jawatankuasa Penasihat juga telah ditubuhkan yang terdiri daripada dua (2) mantan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat hartanah tersenarai (listed) serta seorang mantan Datuk Bandar yang berpengalaman luas dan pakar dalam industri. Jawatankuasa ini berperanan memberikan khidmat nasihat serta pandangan profesional bagi memastikan pembangunan SA Sentral mencapai matlamat yang ditetapkan dengan standard terbaik.

    ii) Teknologi Hijau Dan Kelestarian

    Prinsip Reka Bentuk Hijau diterapkan dalam pembangunan SA Sentral. PKNS melalui Bahagian Sustainability diberi tanggungjawab untuk memastikan projek ini dibangunkan mengikut piawaian kelestarian yang menyokong keseimbangan antara keperluan ekonomi, sosial dan alam sekitar.

    Antara elemen teknologi hijau yang akan dilaksanakan dalam pembangunan ini termasuk District Cooling System, panel solar, pencahayaan LED, stesen pengecasan kenderaan elektrik dan teknologi bandar pintar.

    Selain itu, konsep reka bentuk Transit Oriented Development (TOD) yang menggalakkan penggunaan pengangkutan awam bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas turut diterapkan di samping memperkenalkan laluan pejalan kaki berbumbung yang menghubungkan bangunan bagi mengurangkan pelepasan karbon kenderaan sekaligus menyokong kelestarian alam sekitar.

Lampiran

Tiada Lampiran.