Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025
18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025
335) SELANGOR IC DESIGN PARK
Tahun: 2025
Sesi: 1
Isu: n/a
Adun: Y.B. Puan Pua Pei Ling
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Bagaimanakah kerjasama antara Kerajaan Negeri Selangor dan Kerajaan Persekutuan untuk memastikan kejayaan projek IC Design Park kedua di Cyberjaya?
Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Ekonomi telah memberikan komitmen yang sangat baik dengan menyalurkan peruntukan sebanyak RM12 juta, dengan tambahan geran padanan sebanyak RM5 juta daripada Kerajaan Negeri Selangor, bagi menyokong inisiatif penubuhan Malaysia Semiconductor IC Design Park bermula pada tahun 2024 sehingga 2029.
Malaysia Semiconductor IC Design Park yang pertama, bertempat di Puchong Financial Corporate Centre (PFCC), telah dilancarkan secara rasmi pada 6 Ogos 2024. Pelaksanaan projek ini berjaya direalisasikan dalam tempoh kurang daripada tujuh (7) bulan dan Projek ini juga merupakan salah satu inisiatif utama dalam Persidangan KL20, yang telah berjaya dilancarkan pada 6 Ogos 2024—hanya dalam tempoh kurang daripada empat (4) bulan selepas pengumuman rasmi pada 22 April 2024.
Sokongan padu daripada agensi kerajaan pusat seperti Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) turut memainkan peranan penting dalam memastikan kejayaan projek ini. MIDA telah memberi sokongan dalam menarik pelaburan berkualiti tinggi ke dalam taman reka bentuk IC ini, manakala MITI turut menyediakan pelbagai insentif serta kemudahan kepada syarikat yang ingin melabur dan memperkukuh ekosistem semikonduktor negara.
-
Apakah impak yang dijangka daripada pelancaran IC Design Park kedua di Cyberjaya terhadap pembangunan ekonomi Negeri Selangor?
Penubuhan Malaysia Semiconductor IC Design Park Kedua di Cyberjaya adalah bagi memenuhi permintaan industri semikonduktor yang semakin meningkat untuk menampung pembangunan lebih ramai bakat jurutera di dalam bidang reka bentuk litar bersepadu semikonduktor. Dijangka sebanyak 9 syarikat antarabangsa dan usahasama bakal ditempatkan di Malaysia Semiconductor IC Design Park Kedua ini seperti TenaFe (Malaysia-USA), SMIT (Malaysia-China), NSW (Malaysia-Japan), Betterlife (Malaysia-China), Chipus (Malaysia-Brazil), SpeedCurry (China), Cortical Labs (Malaysia-Australia), UST. Global (Malaysia) dan HCL Tech (Malaysia-India) dan dijangka akan membuka lebih 200 peluang pekerjaan baharu di dalam bidang semikonduktor di sana.
Sebagai makluman Yang Berhormat, penubuhan Malaysia Semiconductor IC Design Park Kedua di Cyberjaya turut bakal menjadi pusat utama untuk pembangunan bakat dalam industri semikonduktor khususnya dalam reka bentuk IC. Pelaksanaannya di bawah mandat pihak Advance Semiconductor Academy of Malaysia (ASEM) yang menawarkan kursus latihan kepada pelajar dan tenaga pekerja mengikuti kurikulum terkini daripada China, Taiwan dan inovasi terkini industri semikonduktor. Ia dijangka dapat melatih 400 orang jutera IC dan 400 orang jurutera atau pakar dalam bidang Test & Packaging serta Peralatan. Secara keseluruhan, pelancaran Malaysia Semiconductor IC Design Park Kedua di Cyberjaya dijangka memberikan impak positif kepada ekonomi Negeri Selangor melalui peningkatan pelaburan, nilai eksport, dan pendapatan, serta mewujudkan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi kepada rakyat tempatan yang bakal melengkapkan ekosistem industri semikonduktor secara holistik.