Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025
18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025
322) KERETA RASMI KERAJAAN
Tahun: 2025
Sesi: 1
Isu: n/a
Adun: Y.B. Tuan Rajiv A/l Rishyakaran
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Adakah Kerajaan Negeri akan mengganti kereta rasmi yang berenjin petrol dengan kereta elektrik, terutamanya kereta ahli MMKN?
Kerajaan Negeri Selangor sememangnya berhasrat untuk menggantikan kereta rasmi yang berenjin petrol dengan kenderaan EV kepada ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN). Sebagai permulaan dan tanda kesungguhan, Kerajaan Negeri Selangor telah melaksanakan sesi pandu uji beberapa model kenderaan EV di pasaran bersama-sama ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (AMMKN) bulan Mei-Ogos tahun 2024 yang lalu.
Walau bagaimanapun, terdapat beberapa isu yang perlu diperhalusi dan ditangani terlebih dahulu sebelum penggantian kepada kenderaan EV dapat dilaksanakan iaitu:-
- Kekurangan Stesen Pengecasan: Salah satu kekangan besar adalah kekurangan infrastruktur pengecasan EV yang meluas. Jumlah stesen pengecasan sedia ada masih terhad, terutamanya di kawasan luar bandar atau kawasan yang kurang padat penduduk.
- Masa Pengecasan yang Lama: Pengecasan EV memerlukan lebih banyak masa berbanding mengisi minyak kenderaan konvensional, yang boleh menjejaskan keberkesanan dalam operasi harian, terutamanya bagi kenderaan yang digunakan untuk tugas rasmi yang melibatkan perjalanan jauh.
- Penggunaan yang optimum: Kadar penggunaan dan pergerakan yang tinggi oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bagi memenuhi tuntutan tugasan rasmi yang melibatkan penggunaan kenderaan pembakaran dalam (petrol) lebih praktikal buat masa ini.
Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri Selangor tetap optimis untuk menjadikan penggunaan kenderaan EV terutama kepada Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri sebagai tanda sokongan ke arah pengurangan pembebasan gas karbon.