Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025

18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025

305) KENDERAAN ELEKTRIK (EV)

Tahun: 2025

Sesi: 1

Isu: n/a

Adun: Y.B. Tuan Ong Chun Wei

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah persiapan kerajaan untuk turut memperolehi limpahan ekonomi daripada industri EV yang semakin berkembang di ekonomi sedunia?

    Kerajaan Negeri mengambil maklum penggunaan kenderaan elektrik yang semakin mendapat perhatian di seluruh dunia sebagai alternatif yang mampan kepada kereta petrol konvensional serta kesan limpahan ekonomi daripada industri EV melalui peluang kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan langsung tempatan (DDI) sekaligus menjadi pemacu pertumbuhan pekerjaan berkemahiran dan berpendapatan tinggi di dalam sektor EV dan teknologi hijau.

    Kerajaan Negeri Selangor melalui Rancangan Selangor Pertama (RS-1) telah mensasarkan pemasangan 1,000 unit stesen pengecas EV di seluruh Negeri Selangor menjelang tahun 2025 dan 4,000 unit menjelang tahun 2030. Inisiatif ini adalah selari dengan dasar di peringkat Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (yang menyasarkan Malaysia mencapai 10,000 unit Electric Vehicle Charging Bay (EVCB) dan sifar karbon seawal tahun 2050).

    Bagi tujuan tersebut, Kerajaan Negeri dalam proses merangka Pembangunan Garis Panduan Prosedur Permohonan Pemasangan Petak Pengecasan Kenderaan Elektrik (Electric Vehicle Charging Bay EVCB) Di Negeri Selangor yang telah dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tetap Mobiliti Negeri Selangor Tahun 2025 pada 23 Januari 2025 bagi melaksanakan penyeragaman kepada semua Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Selangor dari aspek prosedur, fi bayaran, senarai semak, proses kerja dan pemantauan.

    Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri juga telah bersetuju supaya UPEN dan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) menjalankan kajian kebolehlaksanaan dan pengoperasian EVCB di peringkat PBT serta rundingan bersama rakan strategik yang akan dikenalpasti termasuklah cadangan mengguna pakai aplikasi atau sistem seperti SmartSelangor Parking atau lain-lain aplikasi/ sistem yang berkaitan dalam usaha meningkatkan penggunaan kenderaan elektrik. Pihak MBI juga telah menandatangani Memorandum Persefahaman dengan pembekal penyelesaian tenaga bersih, Gentari Sdn Bhd untuk meneroka sektor tenaga boleh diperbaharui di Negeri Selangor di mana salah satu inisiatif yang sedang diterokai adalah penyediaan peranti EVCB. Bagi membantu perkembangan industri EV, pihak Kerajaan Negeri melalui Invest Selangor Berhad juga menyediakan khidmat bantuan dari segi pemudahcara projek (project facilitation) agar kelulusan pembangunan bagi projek-projek yang dicadangkan dapat diberikan dalam tempoh yang ditetapkan dan proses pembangunan dapat dipercepatkan.

Lampiran

Tiada Lampiran.