Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025
18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025
303) LANGKAH DIGITALISASI DALAM URUSAN KEMASKINI MAKLUMAT ASNAF DAN JUGA PERMOHONAN BARU ZAKAT DI NEGERI SELANGOR
Tahun: 2025
Sesi: 1
Isu: n/a
Adun: Y.B. Tuan Dr. Mohd Zamri Bin Mohd Zainuldin
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Bagi meminimakan keciciran dalam penyampaian bantuan, bagaimana kerajaan boleh memperluas sistem sokongan untuk permohonan manual bagi mereka yang kurang celik IT?
Lembaga Zakat Selangor (LZS) sentiasa berusaha agar tiada orang yang layak tercicir daripada menerima bantuan. LZS memperluas sistem sokongan permohonan manual zakat untuk golongan yang kurang celik IT dengan cara:
- Mewujudkan Pusat Khidmat Setempat (One-Stop Center) di kawasan strategik seperti masjid dan surau dengan menyediakan kaunter fizikal. Permohonan secara manual juga boleh dibuat di 19 cawangan LZS di seluruh Selangor. Pegawai LZS yang terlatih boleh membantu pemohon mengisi borang secara manual atau dalam talian di lokasi yang dinyatakan.
- Mewujudkan Kaunter Fizikal Bergerak (Zakat On Wheels) yang bergerak ke kawasan luar bandar atau lokasi strategik sama ada secara berjadual mahupun secara berkolaborasi bersama agensi terpilih di Selangor untuk membantu pemohon yang tidak mempunyai akses internet atau peranti digital.
- Memperkasa peranan 2,000 orang Penolong Amil Kariah (PAK) di sembilan (9) daerah seluruh negeri Selangor sebagai pemudahcara dengan sentiasa memberi latihan kepada mereka untuk membantu asnaf atau pemohon mengisi permohonan secara manual serta peranan Pegawai Contact Centre membimbing pemohon yang kurang mahir dalam IT untuk mengisi borang permohonan dengan betul, sama ada secara dalam talian atau melalui panduan langkah demi langkah.
- Menyediakan talian hotline khas bagi pemohon yang memerlukan bantuan dalam proses permohonan.
- Menyediakan pilihan permohonan secara manual atau dalam talian (hybrid system) iaitu mengekalkan borang permohonan manual bagi mereka yang tidak boleh mengakses sistem digital dan juga pemohon/ asnaf boleh menyerahkan dokumen secara fizikal di cawangan LZS atau melalui PAK.
- Melaksana Program Kesedaran dan Latihan Asas IT melalui penganjuran program Skuad Jejak Kemiskinan di masjid, surau, sekolah dan premis terpilih melalui kolaborasi dengan agensi dan rakan strategik bagi memberi pendedahan tentang penggunaan sistem permohonan digital EZO (e-Zakat Online) yang turut disertai oleh PAK LZS.