Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025

18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025

286) BANTUAN DAN SOKONGAN UNTUK SME

Tahun: 2025

Sesi: 1

Isu: n/a

Adun: Y.B. Dato' Seri Mohamed Azmin Bin Ali

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Rancangan Selangor 1 gagal dalam pelaksanaan dan "tangible results". Antara masalah yang dilaporkan ialah sokongan kepada SME kurang berkesan. Apakah usaha Kerajaan untuk memudahcara proses permohonan geran atau insentif bagi membantu SME yang merupakan tulang belakang ekonomi Selangor?

    Kerajaan Negeri Selangor sentiasa komited dalam menyokong perusahaan SME yang merupakan tulang belakang ekonomi negeri. Dalam usaha ini, Kerajaan Negeri telah melaksanakan beberapa langkah proaktif untuk membantu syarikat SME seperti berikut;-

    • Program perkongsian maklumat dan libat urus bersama MATRADE bagi memperkenalkan geran dan perkhidmatan agensi – agensi berkenaan kepada usahawan yang terlibat dalam industri pembuatan makanan di Negeri Selangor.
    • Penganjuran Hari Eksport Selangor oleh PKNS dengan kerjasama MATRADE. Program ini merupakan program outreach untuk membangunkan lebih ramai usahawan pengeksport di peringkat negeri, terutamanya di Selangor. Program ini bertujuan untuk memberi pendedahan berkenaan maklumat – maklumat asas untuk mengeksport serta mendapatkan pendedahan kepada bantuan Kerajaan serta perkhidmatan oleh pemain ekosistem eksport.
    • Penganjuran ‘Selangor Accelerator Programme’ (SAP) dengan fokus kepada ‘Bio-Based Solutions’. Inisiatif ini merupakan suatu platform transformatif untuk SME, sekaligus memberikan peluang yang unik kepada syarikat yang terlibat untuk berhubung terus dengan rangkaian pelabur dan rakan kongsi korporat.

     

    Program ini direka khusus untuk memperkasakan syarikat SME dengan kemahiran pembangunan perniagaan serta pengetahuan praktikal dalam memastikan kedayasaingan perniagaan dalam industri bioteknologi dan sains hayat. Program ini merangkumi pelbagai aktivti-aktiviti yang melibatkan pengukuhan kemahiran dalam perancangan strategik, penjenamaan, pemasaran, transformasi digital, dan pengurusan kewangan. Secara langsung, inisiatif ini dapat memastikan SME bukan sahaja bersedia menghadapi cabaran pasaran semasa tetapi juga berada dalam kedudukan yang strategik untuk meneroka dan memanfaatkan peluang perniagaan baharu di luar negara.

    Inisiatif ini berkeupayaannya untuk menyediakan bimbingan perniagaan yang disesuaikan mengikut keperluan setiap syarikat peserta, ke arah membantu peserta mengenal pasti serta mengoptimumkan kelebihan daya saing mereka dalam pasaran tempatan dan kemudian hari di peringkat global setelah mencapai keupayaan untuk mengembangkan perniagaan ke luar negara. Dengan memahami keperluan spesifik serta dinamika pasaran sasaran mereka, syarikat-syarikat SME dapat memperhalusi strategi dan penawaran mereka bagi memenuhi permintaan industri dengan lebih berkesan secara berterusan.

    Sepanjang dua tahun yang lalu, program ini telah berjaya menyokong 40 syarikat pemula yang berasaskan sains hayat dan bioteknologi, membantu mereka memperhalusi strategi perniagaan dan teknik pembentangan. Sebanyak 24 bengkel khusus telah dijalankan, merangkumi topik penting seperti Kesesuaian Produk-Pasaran (Product Market Fit), Lean Startup, dan Business Model Canvas. Selain itu, 6 klinik pembentangan telah membantu syarikat pemula mempertingkatkan penyampaian mereka kepada pelabur dan mendapatkan pembiayaan yang berpotensi, manakala 8 lawatan industri telah memberi pendedahan secara langsung kepada fasiliti penyelidikan termaju dan pemain utama dalam ekosistem sains hayat dan bioteknologi. Program ini juga telah memperluaskan impaknya di luar Malaysia melalui 2 program pemerkasaan antarabangsa ke Taiwan dan Vietnam, membuka peluang kerjasama rentas sempadan dan pengembangan pasaran bagi para peserta.

    • Kerajaan Negeri turut menekankan kepentingan keterhubungan industri dengan menyediakan platform bagi SME bertemu dengan pemain industri dan pakar. Melalui strategi ini, kita dapat memastikan komuniti aeroangkasa sentiasa peka dengan trend pasaran terkini serta mengurangkan jurang maklumat antara sektor-sektor yang berkaitan.

     

    Antara program keterhubungan industri yang telah dilaksanakan seperti;

    1. Sesi Industry Linkages antara pemain industri dengan institusi kewangan seperti MIDF dan MBSB bagi memberi pencerahan mengenai pembiayaan dalam industri aeroangkasa yang ditawarkan.
    2. Sesi Industry Linkages yang menghubungkan pemain industri aeroangkasa dengan agensi seperti TalentCorp dan PERKESO bagi berkongsi inisiatif mengenai rangka kerja dan insentif untuk dikemukakan kepada Kementerian Sumber Manusia demi memperkasa tenaga kerja dalam sektor aeroangkasa.
    3. Sesi dialog bersama Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAAM) dan pemain industri bagi menangani isu regulasi di dalam negara ini.
    4. Sesi Industry Linkages bersama syarikat perunding infrastruktur dan kejuruteraan seperti PricewaterhouseCoopers (PwC) dan Haskell dengan pemain industri bertujuan memastikan pelaburan dalam infrastruktur diselaraskan secara mampan, berdaya tahan, dan inklusif.

    Dalam memastikan syarikat tempatan terus berkembang, Kerajaan Negeri Selangor melalui Invest Selangor telah menandatangani memorandum kolaborasi bersama MTDC. Kerjasama ini telah dimeterai bagi mengenalpasti SME yang berpotensi dalam sektor aeroangkasa. Fokus utama adalah membangunkan syarikat di Tier 3 dan Tier 4 agar mereka boleh meningkatkan keupayaan ke Tier 2 dalam rantaian bekalan industri aeroangkasa.

     

    Melalui perlaksanaan usaha ini, dapat memastikan SME di Selangor dapat bersaing di peringkat antarabangsa dan memainkan peranan lebih besar dalam rantaian bekalan global.

     

    1. Penyertaan dalam Selangor International Business Summit (SIBS) yang merupakan salah satu platform yang disediakan oleh Kerajaan Negeri Selangor untuk membantu para SME dalam meningkatkan perusahaan mereka.

Lampiran

Tiada Lampiran.