Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025

18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025

273) PERUNTUKAN PROJEK TEBATAN BANJIR

Tahun: 2025

Sesi: 1

Isu: n/a

Adun: Y.B. Puan Nurul Syazwani Binti Noh

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berapakah peruntukan bagi projek tebatan banjir Selangor pada tahun 2025?

    Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan masing-masing telah memperuntukkan sebanyak RM556.6 juta dan RM3.3 bilion kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Selangor di bawah Rancangan Selangor (RS) Ke-1 dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12). Manakala pada tahun 2025, JPS telah menerima peruntukan sebanyak 3 juta dari Kerajaan Negeri dan RM256.2 juta dari Kerajaan Persekutuan dalam usaha untuk memastikan keberkesanan dalam pengurusan pembangunan projek tebatan banjir.

  2. Apakah status Rancangan Tebatan Banjir Sungai Tengi di Tanjong Karang? Adakah projek ini termasuk di dalam peruntukan projek tebatan banjir pada tahun ini? Jika tidak, mengapa?

    Untuk makluman Yang Berhormat, JPS Negeri Selangor telah mengangkat permohonan projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Tengi dengan anggaran kos projek sebanyak RM30 juta kepada Kerajaan Persekutuan di bawah RMKe-12 melalui Rolling Plan (RP) ke-3 Tahun 2023, RP ke-4 Tahun 2024 dan RP ke-5 Tahun 2025. Walau bagaimanapun, permohonan tersebut tidak disenarai pendek kerana mengambilkira kawasan tersebut merupakan kawasan pertanian dan keutamaan diberikan kepada kawasan yang melibatkan penempatan penduduk yang memberi kesan kerugian yang lebih tinggi kepada Kerajaan.

    Walau bagaimanapun, JPS telah mengangkat permohonan Kajian Pelan Induk Tebatan Banjir Lembangan Sungai Tengi kepada Kerajaaan Persekutuan dengan anggaran kos sebanyak RM5 juta di bawah RMKe-13. Kajian ini diperlukan bagi mengenalpasti penyelesaian secara menyeluruh kawasan yang terlibat dengan isu banjir dan langkah-langkah penyelesaian jangka masa pendek dan jangka masa panjang boleh diatur melalui hasil kajian kelak sekiranya diluluskan.

Lampiran

Tiada Lampiran.