Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025
18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025
261) PERSEDIAAN KERAJAAN DALAM MENYAMBUT KEDATANGAN PELANCONG LUAR DI TENGAH ANCAMAN VIRUS BERBAHAYA
Tahun: 2025
Sesi: 1
Isu: n/a
Adun: Y.B. Tuan Sallehen Bin Mukhyi
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Sejauh mana kerajaan telah bersedia menerima kedatangan pelancong luar yang berkemungkinan membawa virus yang bahaya?
Kerajaan Negeri Selangor sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) untuk memastikan kedatangan pelancong luar ke Negeri Selangor adalah bebas daripada ancaman virus dan penyakit yang berbahaya. Dalam hal ini, JKNS sentiasa komited melaksanakan perkhidmatan kesihatan yang meliputi Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) Negara, iaitu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA 1 dan KLIA 2), Lapangan Terbang Subang dan Pelabuhan Klang.
Untuk makluman Yang Berhormat, KKM telah menempatkan thermal scanner di Pintu Masuk Antarabangsa Negara yang bertujuan menyaring pengembara yang tiba dari luar negara.
Pengembara yang dikesan mengalami demam akan dibawa ke pusat kuarantin atau tempat pemeriksaan untuk menjalani pemeriksaan semula. Bagi yang disyaki menghidap penyakit berjangkit akan dirujuk ke fasiliti kesihatan yang berhampiran untuk menjalani pemeriksaan lanjut dan menerima rawatan. Selain itu, tindakan pencegahan seperti pengasingan kes, menyaring kontak rapat dan menyahkuman kawasan tercemar turut dilaksanakan di PMA oleh pihak JKNS.
Bahan promosi kesihatan seperti bunting dan risalah penyakit yang relevan dengan situasi semasa turut dipaparkan untuk memberi kesedaran kepada pengembara khususnya dan masyarakat awam amnya di PMA. Selain itu, KKM melaksanakan kerjasama dengan Jabatan/Agensi yang berkaitan seperti Jabatan Imigresen Malaysia untuk memastikan rujukan lanjut dibuat kepada petugas kesihatan di PMA, bagi mana-mana pengembara yang bergejala.
-
Strategi kerajaan dengan langkah tertentu bagi membendung penularan virus?
KKM telah membangunkan satu pelan strategik yang komprehensif iaitu The Malaysia Strategy for Emerging Diseases and Public Health Emergencies II (MySED II) Workplan (2017–2021) bertujuan untuk meningkatkan kesiapsiagaan dan tindak balas negara terhadap emerging diseases dan kecemasan kesihatan awam. Antara fokus utama MySED II adalah seperti berikut:
- Aktiviti survelan, penilaian risiko dan tindakan kawalan bagi penularan penyakit berjangkit
Meningkatkan kebolehan menilai, mengesan dan tindak balas dengan segera kepada sebarang ancaman kesihatan awam melalui sistem survelan yang komprehensif dan melalui aktiviti penilaian risiko.
- Perkhidmatan makmal
Meningkatkan kapasiti makmal untuk mengenalpasti emerging pathogen dengan tepat dan cepat, memastikan jaminan kualiti, dan menyeragam rangkaian makmal untuk perkongsian data yang cekap.
- Zoonoses
Memperkukuh kerjasama antara sektor kesihatan manusia dan sektor kesihatan haiwan bertujuan untuk memantau dan mengawal penyakit yang boleh dijangkiti manusia melalui haiwan menggunakan pendekatan One Health.
- Pencegahan dan Kawalan Jangkitan [Infection Prevention & Control (IPC)]
Melaksanakan langkah IPC yang berkesan di semua sektor kesihatan bagi mencegah penyebaran jangkitan, termasuk penyediaan garis panduan dan program latihan untuk anggota kesihatan.
- Komunikasi Risiko
Mewujudkan strategi komunikasi yang jelas untuk pemakluman maklumat yang tepat situasi kecemasan kesihatan semasa melalui penglibatan pihak berkepentingan serta orang awam.
- Kesiapsiagaan Kecemasan Kesihatan Awam
Membangunkan dan mengemas kini pelan kesiapsiagaan kecemasan secara berkala serta melaksanakan latihan simulasi kepada anggotan keselamatan dan kesihatan untuk memastikan ketersediaan apabila menghadapi pelbagai ancaman kesihatan.
- Pemantauan dan Penilaian
Penyediaan mekanisme untuk menilai keberkesanan strategi yang dilaksanakan dan seterusnya membolehkan penambahbaikan berterusan dilaksanakan melalui maklum balas dan lessons learnt daripada pengalaman sebenar di lapangan.