Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025
18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025
258) PENYELENGGARAAN/ PEMBAIKAN PERUMAHAN STRATA
Tahun: 2025
Sesi: 1
Isu: n/a
Adun: Y.B. Tuan Mohd Shafie Bin Ngah
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah inisiatif Kerajaan Negeri dalam membantu perumahan berstrata dalam aspek baik pulih/ penggantian (1) bumbung rosak dan (2) jalan rosak?
Untuk makluman Yang Berhormat, Skim CERIA (Caring Government for Residents’ Improvement Aid) merupakan inisiatif Kerajaan Negeri bagi membiayai program pemulihan, keceriaan, dan penyenggaraan harta bersama di pangsapuri kos rendah dan pangsapuri kos sederhana rendah. Skim ini melibatkan kerja-kerja baik pulih fizikal bangunan, termasuk penggantian bumbung, baik pulih tangki air, pengecatan semula bangunan, penggantian komponen lif, pembaikan infrastruktur, dan kemudahan awam, serta lain-lain kerja baik pulih yang berkaitan.
Selain itu, Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT) turut menyediakan Tabung Penyelenggaraan Perumahan Malaysia (TPPM) sebagai inisiatif untuk membiayai penyelenggaraan dan pembaikan kemudahan bersama dalam perumahan strata, termasuk kondominium, pangsapuri, dan projek perumahan bertingkat lain. Tabung ini bertujuan memastikan keadaan fizikal dan keselamatan bangunan kekal terjaga. Permohonan TPPM boleh dikemukakan sepanjang tahun melalui Jabatan Pesuruhjaya Bangunan (COB) di setiap PBT.
Bagi baik pulih jalan rosak dalam kawasan pangsapuri, tanggungjawab tersebut terletak pada pihak pengurusan pangsapuri (JMB/MC) atau entiti yang menguruskan kawasan tersebut. Sekiranya jalan yang rosak terletak dalam kawasan persendirian, pemilik atau pihak pengurusan bertanggungjawab memastikan pembaikan dilakukan, dengan kos ditanggung oleh kumpulan pemilik atau penyewa mengikut perjanjian pengurusan pangsapuri. Namun, jika jalan rosak tersebut merupakan jalan awam di luar kawasan pangsapuri, pembaikan adalah di bawah tanggungjawab Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang menguruskan infrastruktur awam.