Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025

18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025

220) DASAR PERUBAHAN IKLIM

Tahun: 2025

Sesi: 1

Isu: n/a

Adun: Y.B. Puan Pua Pei Ling

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Bagaimanakah Dasar Perubahan Iklim Negeri Selangor dapat membantu menangani isu perubahan iklim?

    Dasar Perubahan Iklim Negeri Selangor dibangunkan sebagai rujukan dan panduan kepada Negeri Selangor dalam menghadapi cabaran perubahan iklim secara strategik di Negeri Selangor. Dasar ini menyediakan panduan dalam usaha untuk mengimbangi pembangunan ekonomi dan pemeliharaan alam sekitar serta menyokong peralihan tenaga yang inklusif untuk semua sektor. Ianya merangkumi tindakan mitigasi dan adaptasi serta usaha pengurangan risiko bencana.

    Dasar ini boleh membantu menangani perubahan iklim seperti berikut:

    1. Pengurangan Pelepasan Gas Rumah Kaca: Dasar ini memberi penekanan kepada pengurangan pelepasan gas rumah kaca (GHG) melalui pelbagai pendekatan seperti peningkatan penggunaan tenaga boleh diperbaharui, efisiensi tenaga dan pengurangan pembakaran bahan bakar fosil.
    2. Pengurangan Impak Perubahan Iklim: Dasar ini menekankan mengenai tindakan adaptasi dan pengurangan risiko bencana  akibat cuaca ekstrem seperti banjir dan tanah runtuh menerusi pembangunan infrastruktur berdaya tahan iklim dan memastikan perancangan guna tanah yang mampan.
    3. Peningkatan Kesedaran dan Pendidikan: Melalui dasar ini, ianya dapat memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan melindungi alam sekitar dan mengurangkan kesan perubahan iklim melalui kempen dan program yang melibatkan komuniti.
    4. Kelestarian Sumber Alam: Melibatkan pemeliharaan dan pemuliharaan hutan, kawasan hijau dan biodiversiti yang penting dalam menyerap karbon dan menstabilkan ekosistem.
  2. Apakah usaha yang dilaksanakan selepas pelancaran dasar ini?

    Kerajaan Negeri melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Ke 30-2024 bertarikh 24 Oktober 2024 yang disahkan oleh MMKN Ke 31-2024 bertarikh 30 Oktober 2024 telah menimbangkan dan meluluskan penubuhan Pusat Adaptasi Perubahan Iklim Negeri Selangor yang akan berperanan sebagai pelaksana Dasar Perubahan Iklim Negeri Selangor dan lain-lain program alam sekitar Kerajaan Negeri. Pusat ini berfungsi sebagai pusat perancangan strategik untuk tindakan mitigasi dan adaptasi terhadap perubahan iklim.

    Antara cadangan penambahbaikan yang akan dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri adalah seperti berikut:

    1. Penyediaan Pelan Tindakan Perubahan Iklim Pihak Berkuasa Tempatan: PBT perlu menyediakan pelan tindakan yang terperinci untuk melaksanakan dasar ini, termasuk inisiatif pengurangan pelepasan gas rumah kaca, pengurusan sumber alam serta  program adaptasi dan pengurangan risiko bencana.
    2. Pelaksanaan Projek Tenaga Boleh Diperbaharui: Penggunaan tenaga boleh diperbaharui seperti solar dan angin dipertingkatkan dalam sektor perindustrian dan rumah kediaman yang bakal dirangka melalui Pelan Hala Tuju Ekonomi Hijau Negeri Selangor.
    3. Pembangunan Infrastruktur Hijau: Mewujudkan lebih banyak kawasan hijau di bandar untuk menampung kesan perubahan iklim serta meningkatkan kualiti udara dan tahap kesihatan orang awam.
    4. Sokongan kepada sektor swasta dan komuniti: Memberikan insentif dan sokongan kepada sektor swasta dan komuniti seperti pemberian Kupon Lestari sebagai galakan untuk melaksanakan amalan mesra alam.
    5. Kajian dan Pemantauan: Kajian mengenai impak perubahan iklim di Negeri Selangor yang akan dilaksanakan oleh Pusat Adaptasi Perubahan Iklim Negeri Selangor termasuk melaksanakan langkah-langkah pemantauan untuk mengukur keberkesanan dasar ini.
  3. Apakah mekanisme yang diterapkan oleh Kerajaan Negeri untuk menilai keberkesanan pelaksanaan dasar ini?

    Beberapa cadangan mekanisme yang diterapkan oleh Kerajaan Negeri untuk menilai keberkesanan pelaksanaan dasar ini seperti berikut:

    1. Sistem Pemantauan dan Penilaian: Satu Jawatankuasa di  Peringkat Negeri akan ditubuhkan sebagai platform penilaian dan pemantauan terhadap tahap pencapaian program atau inisiatif rendah karbon serta pembangunan infrastruktur hijau.
    2. Indikator Keberkesanan: Mewujudkan indikator-indikator tertentu untuk mengukur impak dasar seperti pengurangan pelepasan karbon, peningkatan penggunaan tenaga boleh diperbaharui dan penurunan risiko bencana iklim. Pengumpulan data yang bersepadu dan perkongsian data antara Jabatan/Agensi serta PBT dilaksanakan untuk memantau perkembangan dan keberkesanan dasar;
    3. Pelaporan Tahunan: Menyediakan laporan tahunan atau laporan kemajuan kepada Majlis Tindakan Perubahan Iklim Negeri Selangor (IKLIMSELANGOR) mengenai pencapaian pelaksanaan dasar bagi membantu menilai kemajuan dan membuat penambahbaikan sekiranya perlu.
    4. Keterlibatan Pihak Berkepentingan: Melibatkan semua pihak yang berkepentingan daripada sektor awam, swasta dan masyarakat dalam kempen kesedaran dan proses penilaian untuk mendapatkan input dan pandangan yang lebih luas mengenai keberkesanan dasar.

Lampiran

Tiada Lampiran.