Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025
18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025
212) KEMARAU 2025
Tahun: 2025
Sesi: 1
Isu: n/a
Adun: Y.B. Puan Michelle Ng Mei Sze
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Perincipan (i) dasar dan (ii) kempen yang akan dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri bersama Kerajaan Persekutuan oleh semua agensi berkaitan untuk memastikan (i) kelangsungan makanan dan (ii) sumber air semasa kemarau berpanjangan yang menjelang.
(i) Kerajaan Negeri Selangor sentiasa memastikan hubungan dan kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan diperkukuhkan dalam semua aspek berkaitan alam sekitar dan perubahan iklim. Di peringkat Negeri Selangor, Pelan Transformasi Agro Selangor (PeTA) merupakan dasar yang digubal oleh Kerajaan Negeri bagi memajukan sektor pertanian melalui penggunaan teknologi moden, meningkatkan pengeluaran makanan, dan memperkukuh ekonomi pertanian. Pelan ini menfokuskan kepada penyediaan makanan yang lengkap dan komprehensif bagi memenuhi permintaan pasaran yang memerlukan pendekatan yang menyeluruh, termasuk penggunaan teknologi moden dan usaha melatih, membimbing, dan menyokong golongan belia untuk menjadi usahawan dalam sektor pertanian. Kerajaan Negeri Selangor dan Jabatan Pertanian Negeri Selangor sentiasa memberikan keutamaan dalam memastikan bekalan makanan mencukupi, selamat dan berkualiti. Sehubungan dengan itu, antara langkah yang di ambil oleh Kerajaan Negeri Selangor untuk memastikan bekalan makanan mencukupi, selamat dan berkualiti adalah seperti berikut:
- Pelaksanaan Program Gudang Makanan Selangor (GMS) yang bertujuan untuk memastikan bekalan makanan asas seperti beras mencukupi bagi penduduk Negeri Selangor. Pada peringkat awal, pelaksanaan program stok makanan asas yang disimpan adalah mencukupi untuk tempoh satu bulan, dengan jumlah sebanyak 15% daripada keseluruhan penduduk Negeri Selangor. Kemudian, program ini akan diperluaskan dengan menambah simpanan bekalan makanan yang mencukupi untuk tempoh tiga bulan, bagi memenuhi keperluan 7 juta penduduk Negeri Selangor;
- program Rantaian Bekalan Makanan Lengkap di bawah PeTA turut dilaksanakan yang melibatkan keseluruhan rantaian bermula dari pengeluaran benih dan baka, penyediaan kawasan projek tanaman/ternakan,penyimpanan/pengumpulan, pengedaran dan seterusnya pemasaran produk;
- Pelaksanaan program kebun komuniti PBT di Negeri Selangor yang bertujuan untuk meningkatkan hasil pertanian dan bekalan makanan secara berkumpulan, terutama di kawasan perumahan. Dengan lebih 200 kebun komuniti berdaftar, inisiatif ini menggalakkan kebergantungan kepada hasil usaha sendiri, kehidupan lestari, penjimatan kos, dan mengeratkan hubungan di antara anggota masyarakat;
- Kerajaan Negeri turut membuka kawasan bagi projek pertanian seperti Program Selangor Smart Agro Park dan Agro Farm, Kampung Johan Setia, daerah Klang untuk mempertingkatkan pengeluaran hasil pertanian;
- Program Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) yang merangkumi sejumlah 22 kawasan dengan keluasan 2,011.9 hektar yang merangkumi projek tanaman, penternakan dan akuakultur. Sebagai contoh projek tanaman sayuran di Kampung Johan Setia, Klang boleh menampung sehingga 30% bekalan sayur di Lembah Klang dengan menghasilkan produk pertanian sejumlah 3,000 metrik tan dengan nilai RM46.3 juta setahun. Program ini bertujuan untuk memastikan kelestarian bekalan makanan dan mengurangkan kebergantungan kepada belakan makanan yang diimport.
Dari aspek kempen, Kerajaan Negeri dan Jabatan Pertanian Negeri Selangor giat menjalankan kempen, latihan dan khidmat nasihat bagi penduduk bandar yang mengusahakan pertanian.
(ii) Yang berhormat, bagi aspek pengurusan sumber air semasa kemarau berpanjangan, antara dasar bagi pengurusan sumber air semasa tempoh kemarau adalah menerusi pendekatan pengurusan pelepasan air empangan secara bersepadu yang melibatkan LUAS, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Pengurusan Air Selangor Berhad. Ini adalah bagi membantu pembekalan sumber air di Negeri Selangor dengan ketahanan pembekalan sekurang-kurangnya sehingga tempoh 6 bulan. Sekiranya tempoh kemarau melepasi tempoh 6 bulan, inisiatif yang akan dilaksanakan adalah dengan mengguna pakai sumber air alternatif melalui rizab simpanan takungan di bekas lombong dan tasik. Perkara ini dilaksanakan melalui beberapa inisiatif dan projek seperti Selangor Off River Storage Scheme (SORSS), Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) dan Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS). Sehingga kini, terdapat lima (5) buah kawasan takungan yang telah dibina infrastruktur lengkap seperti di ORS Labu, ORS Labohan Dagang, ORS Hang Tuah (Projek SJAM Pakej B), HORAS 600 Bestari Jaya (Projek SJAM Pakej A) dan Loji Rawatan Air Semenyih (Projek SJAM Pakej D). Projek ini dilaksanakan dengan mengambil kira faktor risiko kemarau melalui kajian oleh agensi di peringkat Negeri seperti LUAS dan juga Jabatan/Agensi peringkat Persekutuan seperti Jabatan Meteorologi Malaysia dan NAHRIM.
Selain projek tersebut, terdapat juga lebih 100 buah kawasan takungan lain yang berpotensi untuk dibangunkan di bawah Selangor Off River Storage Scheme (SORSS) dengan kapasiti simpanan air mentah sebanyak 167 juta meter padu (MCM).
Dalam usaha untuk meningkatkan kapasiti simpanan air ini bagi persediaan musim kering/kemarau, Kerajaan Negeri melalui LUAS dan Kementerian Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air (PETRA) kini sedang giat dalam usaha menggalakkan pelaburan dalam bidang/sektor sumber air berikutan penilaian terhadap potensi projek seperti pembangunan panel solar terapung di Kolam Takungan Sg Rawang-Serendah yang mampu mengekalkan rizab simpanan sumber air dalam masa yang sama turut menyumbang kepada pembangunan ekonomi. Projek seperti ini dilihat mampu memberi manfaat terhadap jaminan pembekalan dan simpanan takungan air. Inisiatif ini dilaksana supaya kawasan badan sumber air tersedia dipelbagaikan fungsi termasuk kawasan terbiar seperti bekas lombong dapat memberi manfaat kepada Kerajaan Negeri dan di dalam masa yang sama dibangunkan sebagai sumber air tambahan ketika diperlukan seperti semasa musim kemarau.
Di samping itu, Kerajaan Negeri melalui LUAS juga melaksanakan hebahan dan promosi mengenai langkah-langkah penggunaan air berhemah ketika musim kering/kemarau. Promosi dan hebahan ini dilakukan melalui maklumat, poster dan info grafik di media sosial serta menerusi program-program kesedaran bersama-sama dengan orang ramai.