Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025
18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025
210) PERUMAHAN MAMPU MILIK
Tahun: 2025
Sesi: 1
Isu: n/a
Adun: Y.B. Datuk Abdul Rashid Bin Asari
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah usaha Kerajaan Negeri dalam menyediakan perumahan mampu milik terutama kepada golongan B40?
Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri amat prihatin dan komited dalam menyediakan perumahan mampu milik kepada golongan B40 sama ada melalui pemilikan di bawah program Rumah Selangorku atau penyewaan di bawah program Skim Smart Sewa.
Di bawah program pemilikan Rumah Selangorku, Kerajaan Negeri melalui Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS) telah mengambil langkah proaktif dengan memperkenalkan Dasar Perumahan Mampu Milik Negeri Selangorku (Rumah Selangorku 3.0) berkuat kuasa 03 Januari 2023.
Melalui dasar tersebut, pihak pemaju/ pemilik tanah dikenakan syarat untuk membina Rumah Selangorku berdasarkan kepada keluasan pembangunan mengikut zon/ kawasan pembangunan. Kawasan Selat Klang terletak di dalam Zon 1 dan Zon 2 pembangunan, yang mana tapak pembangunan di bawah 5 ekar dikenakan syarat 20% Rumah Selangorku, 5 ekar hingga 10 ekar 20% Rumah Selangorku, 10 ekar hingga 20 ekar 30% Rumah Selangorku, 20 ekar hingga 50 ekar 40% Rumah Selangorku dan 50 ekar ke atas 40% Rumah Selangorku.
Harga jualan Rumah Selangorku 3.0 adalah bermula dari RM114,750.00 hingga RM250,000.00 seunit, dengan keluasan binaan dari 450 kaki persegi hingga 900 kaki persegi yang terdiri daripada jenis perumahan bertingkat dan bertanah.
Oleh itu, sekiranya terdapat cadangan pembangunan perumahan yang dikemukakan oleh pihak pemaju/ pemilik tanah, adalah menjadi keutamaan/ tanggungjawab pihak LPHS untuk memastikan komposisi/ syarat pembangunan Rumah Selangorku tersebut dipatuhi berdasarkan kepada Dasar Rumah Selangorku 3.0. Ini bagi memastikan pembinaan Rumah Selangorku berada di pasaran sekaligus boleh ditawarkan kepada pembeli yang layak termasuk golongan B40.
Di bawah program penyewaan pula, Skim Smart Sewa diperkenalkan bagi membantu golongan yang gagal mendapatkan pinjaman perumahan supaya dapat menyewa kediaman yang disediakan oleh Kerajaan Negeri dengan kadar sewa yang berpatutan berbanding harga pasaran.
Penyewa akan mendapat pulangan semula 30% daripada jumlah sewaan bersih yang dibayar apabila mereka tidak lagi tinggal di unit berkenaan dalam tempoh 2 tahun hingga 5 tahun. Dengan pengembalian sebanyak 30% wang sewaan bersih kepada pemohon, maka wang tersebut boleh dijadikan sebagai wang pendahuluan dalam pembelian Rumah Selangorku pada masa akan datang.
-
Bagaimana langkah-langkah ini akan dilaksanakan di DUN Selat Klang?
Untuk makluman Yang Berhormat, bagi merealisasikan penyediaan Rumah Selangorku tersebut, Kerajaan Negeri telah meluluskan sebanyak tiga (3) projek yang mengandungi 3,964 unit yang boleh ditawarkan/ dimiliki kepada rakyat di kawasan Selat Klang ini. Perincian projek-projek tersebut adalah seperti di Jadual 1 Lampiran 1.
Bagi program penyewaan di bawah Skim Smart Sewa di Daerah Klang, Kerajaan Negeri telah menyediakan sebanyak lapan (8) projek mengandungi 430 unit yang boleh disewa oleh orang awam yang belum berkemampuan untuk membeli Rumah Selangorku. Perincian projek yang terlibat dengan skim penyewaan ini adalah seperti di Jadual 2 Lampiran 1.