Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025

18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025

194) KETIRISAN SISTEM E-TANAH

Tahun: 2025

Sesi: 1

Isu: n/a

Adun: Y.B. Puan Nurul Syazwani Binti Noh

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berapakah jumlah kes ketirisan Sistem E-Tanah di Selangor melibatkan pemindahan hak milik tanah secara salah? Berapakah kerugian yang dialami akibat isu ini?

    Secara dasarnya, tiada kes ketirisan berkaitan Sistem e-Tanah yang melibatkan pemindahan hak milik tanah secara salah direkodkan sejak penggunaan Sistem e-Tanah di Selangor bermula 26 Oktober 2023. Tetapi apa yang berlaku adalah kes-kes pindah milik tanah secara fraud oleh individu dan juga sindiket dengan cara mengemukakan dokumen geran yang palsu, salinan kad pengenalan palsu serta pemalsuan tandatangan pemilik geran atau peguam.

    Pentabiran Tanah Negeri Selangor sentiasa berusaha menambah baik prosedur operasi standard (SOP) sistem e-Tanah bagi memastikan ketelusan, kecekapan dan integriti dalam pengurusan tanah. Beberapa langkah penambahbaikan yang dirancang dan sedang dilaksanakan termasuk:

    1. Mewajibkan pelaksanaan pengesahan biometrik kepada kedua-dua pihak penjual dan pembeli bagi urusniaga pindah milik tanah yang melebihi nilai RM1 juta bagi hakmilik Pentadbir Tanah dan RM5 juta bagi hakmilik Pejabat Pendaftar;
    2. Memperkemas prosedur permohonan dengan keperluan dokumentasi yang lebih ketat termasuk pengesahan identiti oleh peguam berdaftar bagi setiap penyaksian urusan pindah milik tanah;
    3. Memastikan hanya peguam dan firma yang berdaftar sahaja dibenarkan membuat perserahan pindah milik tanah bagi urusan yang diwakili oleh peguam; dan
    4. Mengadakan latihan berkala kepada pegawai Pejabat Tanah/Daerah dan pengguna sistem bagi memastikan mereka memahami peraturan terkini serta cara mengelakkan penipuan.
  2. Apakah langkah yang diambil oleh kerajaan untuk memastikan tanah yang telah dipindahmilik secara salah dikembalikan kepada pemilik sah?

    Untuk kes pindah milik tanah secara salah yang disebabkan oleh penipuan, pihak Pendaftar Hakmilik / Pentadbir Tanah akan bertindak mengikut prosedur Pelaporan Kes Fraud Dalam Urusan Tanah seperti yang telah ditetapkan oleh Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan.

    Siasatan dalaman akan dilaksanakan dalam tempoh 24 jam selepas aduan diterima dan laporan akan disediakan berdasarkan keputusan siasatan. Sekiranya wujud kes penipuan atau penyelewengan, Pendaftar Hakmilik / Pentadbir Tanah akan membuat laporan di balai polis terdekat dalam tempoh masa 48 jam dan kaveat Pendaftar akan dimasukkan ke dalam hartanah tersebut bagi mengelakkan sebarang urusniaga lanjut. Pendaftar Hakmilik / Pentadbir Tanah seterusnya akan memaklumkan Penasihat Undang-undang Negeri untuk mendapatkan perintah mahkamah bagi memastikan hak milik tersebut dapat dikembalikan semula kepada pemilik yang sah.

Lampiran

Tiada Lampiran.