Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025

18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025

192) MASALAH GANGGUAN LALAT

Tahun: 2025

Sesi: 1

Isu: n/a

Adun: Y.B. Tuan Rosnizan Bin Ahmad

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah tindakan pihak Kerajaan Negeri Selangor berkenaan masalah lalat yang berlaku di Kampung Kelanang sehingga Jalan Sungai Yu disebabkan reban ayam di Jalan Pak Rashid Kampung Kelanang yang berlarutan sekian lama?

    Selepas menerima pertanyaan lisan ini, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Selangor (DVS Selangor) dengan segera telah menghantar sepasukan pegawai bagi melaksanakan lawat siasat ke atas satu (1) ladang ayam di Jalan Pak Rashid, Kampung Kelanang pada 13 Februari 2025.  Lawat siasat ini turut disertai Ahli Dewan Negeri Selangor (ADNS) kawasan Morib, Y.B. Tuan Rosnizan bin Ahmad.

    Alamat sebenar ladang ini (mengikut geran tanah) adalah Lot PT. 612, Mukim Batu, Jalan Jugra, Pulau Nyatoh, Kg. Permatang Pasir.  Kapasiti keseluruhan ladang ini adalah sebanyak 50,000 ekor ayam dengan menggunakan Sistem Reban Terbuka.

    Dalam lawat siasat ini, DVS Selangor tidak dapat menemui sebarang kesalahan yang boleh dikompaun kerana semua ayam telah dijual.  Walau bagaimanapun, pegawai DVS Selangor telah memberi peringatan dan nasihat kepada pemilik ladang supaya membersihkan ladang dan memperbaiki kaedah penternakan terutamanya aspek pengawalan lalat supaya tidak menimbulkan masalah kacau ganggu (sekiranya diberi lesen bagi tahun 2025).  Lesen Perladangan Unggas Dan Aktiviti Berkaitan ladang ini bagi tahun 2025 belum diluluskan lagi.  Kelulusan ini tertakluk kepada syarat-syarat yang telah dinyatakan dalam  Enakmen Perladangan Unggas (Negeri Selangor) 2007 (EPUNS2007) dan Peraturan-peraturan Perladangan Unggas (Negeri Selangor) 2008 (PPUNS2008).

    Seterusnya, bagi menangani kacau ganggu lalat secara keseluruhan di kawasan Kg. Kelanang, Kg. Permatang Pasir, Kg. Kathong, Kerajaan Negeri akan mengambil tindakan susulan seperti berikut:

    1. Lawat siasat ulangan ke atas ladang ini dan lawatan pemantauan ke atas (3) tiga buah ladang ayam yang lain di sekitar Kg. Kelanang, Kg. Permatang Pasir, Kg. Kathong dan Ladang Sg. Hantu.
    2. Operasi bersepadu melibatkan DVS, PBT, PDT dan jabatan/agensi berkaitan yang lain. Dalam operasi ini, Jabatan/Agensi akan bekerjasama  menggunakan undang-undang dan peraturan-peraturan yang paling sesuai ke atas sebarang kesalahan yang ditemui.
    3. Sekiranya terdapat ladang yang masih belum diluluskan lesen bagi tahun 2025 tetapi tetap meneruskan penternakan ayam, DVS Selangor akan mengambil tindakan undang-undang mengikut EPUNS2007 dan PPUNS2008.

Lampiran

Tiada Lampiran.