Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025

18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025

188) E-WASTE

Tahun: 2025

Sesi: 1

Isu: n/a

Adun: Y.B. Tuan Ong Chun Wei

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah perkembangan pelaksanaan tersebut dan apakah penambahbaikkan yang akan dilakukan oleh Kerajaan Negeri untuk terus meningkatkan pengumpulan E-Waste di Negeri Selangor?

    Untuk makluman, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor Ke 28/2024 yang telah diadakan pada 2 Oktober 2024 dan disahkan oleh MMKN Selangor Ke 29/2024 pada 9 Oktober 2024, telah menimbang dan meluluskan pelaksanaan Program Pengurusan Dan Pengutipan Sisa Elektrik Dan Elektronik (E-Waste) Negeri Selangor. Program yang julung kali diadakan ini adalah merupakan program kerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan dan Agensi Negeri bertujuan untuk membantu orang awam melupuskan e-waste dengan betul dalam masa yang sama mempromosikan pelupusan secara mesra alam.

    Bagi memastikan program E-Waste dilaksanakan dengan berkesan, beberapa tindakan dan penambahbaikan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri seperti berikut:

    1. Menyediakan Garis Panduan Program Pengurusan Dan Pengutipan Sisa Elektrik Dan Elektronik (E-Waste) Negeri Selangor untuk rujukan PBT dan Jabatan/Agensi Negeri sebagai pelaksana program serta pihak-pihak berkepentingan yang terlibat dalam pengurusan dan pengutipan e-waste di Negeri Selangor dengan mengambil kira keperluan yang terkandung di dalam Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 [Akta 127] yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS);
    2. Bekerjasama dengan Electronic Recycling Through Heroes (ERTH), sebuah syarikat pengumpulan e-waste yang sah, yang menawarkan perkhidmatan pengambilan secara percuma dari rumah atau penghantaran percuma melalui Pos Malaysia, dengan ganjaran wang tunai bagi e-waste yang diserahkan. Selain daripada ERTH, syarikat-syarikat pengumpul sisa yang lain turut menyertai program ini;
    3. Menyediakan fasiliti/kemudahan pusat pengumpulan E-Waste komuniti seperti PJ Eco Plaza SS8 dan Drive Through Recycling Center (DTRC) The Spine Kelana Jaya serta penyediaan tong E-Waste di lokasi-lokasi awam seperti taman perumahan, balai bomba, polis dan hospital.
    4. Projek perintis di stesen minyak dan pasar raya melalui kerjasama dengan Rakan Strategik Alam Sekitar (RSAS) seperti Petron Malaysia dalam program pengumpulan E-Waste di stesen-stesen servis Petron dan Pasaraya Giant di mana kotak replika (e-waste) disediakan di 16 pasaraya Giant bagi memudahkan orang awam mengekses kepada kemudahan kitar semula.
    5. Pembangunan aplikasi mudah alih dan portal lestariselangor.com untuk memudahkan rakyat mendapatkan maklumat mengenai pusat pengumpulan e-waste yang terdekat dan menyediakan perkhidmatan kutipan e-waste secara “door-to-door”.

    Selain itu, sebagai penambahbaikan kepada program ini, Kerajaan Negeri telah menyediakan peruntukan sebanyak RM250,000 untuk PBT, Jabatan/Agensi Negeri serta Badan Bukan Kerajaan (NGO) bagi penganjuran program/kempen pengutipan e-waste di Negeri Selangor termasuk menambah jumlah pusat pengumpulan. Kerajaan Negeri juga turut memperluaskan penyertaan program ini kepada syarikat pengumpulan sisa e-waste yang lain dan berdaftar dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi meningkatkan hasil kutipan sisa e-waste di Negeri Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.