Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025
18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025
186) SEHINGGA TAHUN 2025 INI MASIH TERDAPAT PENDUDUK DI KAWASAN KAMI YANG MENDUDUKI RIZAB SUNGAI, RIZAB JALAN
Tahun: 2025
Sesi: 1
Isu: n/a
Adun: Y.B. Tuan Dr. Mohd Zamri Bin Mohd Zainuldin
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Adakah kerajaan merancang untuk memperkenalkan skim Rent-to-Own (RTO) yang lebih fleksibel untuk golongan B40 di luar bandar, khususnya di DUN Sungai Burong?
Untuk makluman Yang Berhormat, pada tahun 2016 Kerajaan Negeri telah melaksanakan skim sewa milik rumah, atau lebih dikenali dengan nama Skim DanaSel, melalui projek Perintis di Pangsapuri Rimba Jaya, Shah Alam bagi membantu penduduk di kawasan bandar, khususnya penduduk setinggan untuk memiliki Rumah Kos Rendah atau Rumah Selangorku (Jenis A).
Walau bagaimanapun, skim ini gagal mencapai objektif yang telah ditetapkan di mana sebahagian besar penduduk setinggan tersebut tidak membuat bayaran ansuran sepertimana yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Negeri.
Berdasarkan kepada keadaan tersebut, cadangan untuk Kerajaan Negeri melaksanakan Skim Rent-to-Own (RTO) masih belum dapat dimuktamadkan kerana perlu mengambil kira semua aspek, termasuk sekiranya ia gagal mencapai objektif sebelum dapat dilaksanakan semula dengan lebih berkesan.
Sebagai alternatif, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan Skim Smart Sewa dengan objektif utama membantu golongan yang gagal mendapatkan pinjaman perumahan atau golongan yang belum bersedia memiliki kediaman sendiri supaya dapat menyewa kediaman yang disediakan oleh Kerajaan Negeri dengan kadar sewa yang berpatutan berbanding harga pasaran (iaitu 20% – 30% lebih murah daripada pasaran).
Untuk makluman Yang Berhormat juga, di bawah program pemilikan Rumah Selangorku (RSKU), Kerajaan Negeri, melalui Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS) menawarkan kepada orang awam yang berkelayakan untuk memohon RSKU. Pemohon perlu berdaftar dengan LPHS melalui Sistem Pendaftaran Permohonan Hartanah Terkawal Negeri Selangor. Penawaran kepada pemohon akan dibuat berdasarkan merit setelah mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan dan keutamaan penawaran RSKU adalah berdasarkan kepada projek Rumah Selangorku sedia ada, sekiranya terdapat kekosongan unit. Dari segi proses pembiayaan perumahan RSKU pula adalah melalui inisiatif pemohon sendiri serta tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan oleh pihak bank.