Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025

18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025

170) PEMBANGUNAN INDUSTRI PELANCONGAN

Tahun: 2025

Sesi: 1

Isu: n/a

Adun: Y.B. Datuk Abdul Rashid Bin Asari

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah langkah Kerajaan Negeri dalam mempromosikan pelancongan tempatan?

    Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri Selangor telah mengambil pelbagai langkah untuk mempromosikan pelancongan tempatan bagi meningkatkan kesedaran dan menarik lebih ramai pelancong domestik. Langkah-langkah ini bertujuan untuk memanfaatkan potensi pelancongan yang ada dan memastikan Negeri Selangor terus menjadi destinasi pilihan pelancongan. Berikut adalah beberapa langkah utama yang diambil oleh Kerajaan Negeri dalam mempromosikan pelancongan tempatan:

    • Pelaksanaan Kempen Tahun Melawat Selangor 2025 (TMS 2025)

    Pelaksanaan Kempen TMS 2025 merupakan langkah utama yang diambil oleh Kerajaan Negeri untuk memperkenalkan dan mempromosikan destinasi pelancongan di Negeri Selangor. Kempen ini bertujuan untuk menarik pelancong domestik dan antarabangsa, dengan menonjolkan tarikan pelancongan tempatan seperti kawasan pantai, hutan simpan, destinasi budaya dan sejarah, serta destinasi alam semula jadi di Negeri Selangor.

    • Penglibatan dalam Pameran Pelancongan

    Penyertaan Kerajaan Negeri melalui Tourism Selangor (TSSB) dalam pameran pelancongan domestik seperti MATTA Fair dan SITEX memberi peluang kepada Kerajaan Negeri untuk mempromosikan produk pelancongan Negeri Selangor kepada masyarakat tempatan. Pameran ini menjadi platform yang baik untuk memperkenalkan pelbagai destinasi dan produk pelancongan yang ditawarkan oleh Negeri ini kepada pengunjung dari seluruh Malaysia.

    • Penggunaan Media Sosial dan Digital

    Kerajaan Negeri menggunakan platform media sosial seperti Facebook, Instagram dan TikTok untuk mempromosikan aktiviti pelancongan tempatan secara langsung kepada orang ramai. Selain itu, laman sesawang pihak TSSB juga menyediakan maklumat terperinci mengenai acara dan destinasi pelancongan yang menarik di Negeri Selangor. Penggunaan media sosial yang meluas membantu menarik perhatian golongan muda serta pelancong domestik untuk mengunjungi Negeri Selangor.

    • Pelaksanaan Promosi Acara dan Festival Tempatan

    Kerajaan Negeri turut menganjurkan acara pelancongan tempatan seperti Festival Sawah Padi, Selangor Food Mega Festival, Selangor International Tourism Expo (SITEX) dan Selangor Marathon yang bertujuan untuk menarik pelancong domestik ke Negeri Selangor.

    • Pemasaran melalui Pengusaha Pelancongan

    Kerajaan Negeri bekerjasama dengan pengusaha pelancongan tempatan untuk memperkenalkan pakej pelancongan domestik yang menarik. Pakej-pakej ini menggabungkan lawatan ke destinasi tempatan seperti Sunway Lagoon, Bukit Melawati, Taman Alam Kuala Selangor dan Taman Botani Shah Alam. Selain itu, pakej pelancongan mesra keluarga turut diperkenalkan melalui promosi destinasi pelancongan seperti Sunway Lagoon, Zoo Negara dan Farm in the City.

    • Pelaksanaan Sistem Ganjaran 

    Sistem ganjaran seperti kad keahlian dan diskaun turut ditawarkan kepada pelancong tempatan yang kerap berkunjung ke destinasi-destinasi pelancongan tertentu di Negeri Selangor. Ini merupakan salah satu insentif yang diberikan kepada pelancong untuk terus mengunjungi destinasi pelancongan negeri ini.

  2. Bagaimanakah usaha ini dapat meningkatkan ekonomi di Selat Klang serta apakah inisiatif baru yang diambil untuk menarik pelancong ke kawasan ini?

    Untuk makluman Yang Berhormat, pertumbuhan sektor perkhidmatan yang berkaitan dengan pelancongan negeri secara tidak langsung akan memberikan kesan langsung kepada ekonomi tempatan. Perniagaan seperti restoran, kedai cenderamata dan pengusaha pengangkutan dapat memperoleh manfaat dari pelancong yang datang untuk menikmati pengalaman yang terdapat di kawasan tersebut.

    Selain itu, peluang pekerjaan baharu akan tercipta dalam sektor pelancongan dan perkhidmatan, sekaligus dapat memperbaiki kualiti hidup masyarakat tempatan dan memberi peluang kepada pengusaha perniagaan kecil untuk berkembang. Ini membantu meningkatkan taraf hidup penduduk dan memperkasa ekonomi setempat.

    Berikut adalah beberapa inisiatif baharu yang sedang diambil untuk menarik pelancong ke kawasan ini:

    1. Memperkenalkan pelancongan berasaskan warisan di kawasan Bandar Lama Klang yang terkenal dengan sejarah kolonial British dan tempatan yang menarik. Pakej pelancongan berasaskan sejarah yang merangkumi lawatan ke tapak bersejarah di Klang serta kawasan perkampungan tradisional di sekitar Selat Klang juga dipromosikan untuk menarik minat pelancong;
    2. Menganjurkan festival kebudayaan dan warisan budaya tempatan. Pihak MBDK telah melaksanakan Program Fiesta
    3. Seni Budaya dan Pelancongan Bandaraya Klang dengan kerjasama pelbagai pihak;
    4. Menjalinkan kerjasama dengan pengusaha pelancongan tempatan dan pengusaha hotel untuk menawarkan pakej pelancongan yang komprehensif; dan
    5. Menggunakan platform media sosial dan media digital untuk mempromosikan Bandaraya Klang sebagai destinasi pelancongan warisan di Negeri Selangor. Selain itu, kandungan media sosial dari pempengaruh pelancongan tempatan turut digunakan sebagai bahan promosi untuk memperkenalkan destinasi pelancongan yang terdapat di Bandaraya Klang.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.