Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025
18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025
152) PENDAWAIAN ELEKTRIK DIRUMAH
Tahun: 2025
Sesi: 1
Isu: n/a
Adun: Y.B. Tuan Rosnizan Bin Ahmad
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Adakah Kerajaan Negeri Selangor ada inisiatif ataupun memberi subsidi pendawaian elektrik lama ditukar ke pendawaian baru untuk rumah khususnya rumah-rumah kampung yang lebih 20 tahun yang telah uzur dan tidak selamat serta akan menjadi antara punca kebakaran akibat litar pintas?
Kerajaan Negeri Selangor amat prihatin terhadap keselamatan penduduk, khususnya yang menetap di rumah-rumah kampung lama yang berisiko tinggi akibat sistem pendawaian elektrik yang uzur. Sehubungan dengan itu, Kerajaan Negeri melalui beberapa inisiatif telah mengambil langkah untuk menangani isu ini bagi mengelakkan kejadian tidak diingini seperti kebakaran akibat litar pintas.
Buat masa ini, inisiatif Kerajaan Negeri berhubung perkara ini adalah melalui Program Bina Baru dan Baik Pulih Rumah Kerajaan Prihatin di bawah YB EXCO Kemiskinan Negeri Selangor yang mana program ini menyediakan bantuan untuk pembaikan rumah termasuk kerja-kerja pendawaian semula bagi rumah-rumah kampung yang telah berusia lebih 20 tahun dan berada dalam keadaan uzur tertakluk kepada syarat-syarat permohonan seperti pendapatan isi rumah kurang daripada RM2,000.00 sebulan dan status tanah kediaman adalah hakmilik pemohon. Permohonan bagi program ini boleh dikemukakan terus kepada Pejabat Daerah dan Tanah yang berkaitan.
Selain daripada itu, rakyat negeri Selangor yang memerlukan pendawaian semula juga boleh mengemukakan permohonan kepada Pejabat Ahli Dewan Negeri atau Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk pertimbangan bantuan berdasarkan keperluan mendesak dan peruntukan yang tersedia.