Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025

18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025

147) PELABURAN DALAM NEGERI BAGI TAHUN 2024

Tahun: 2025

Sesi: 1

Isu: n/a

Adun: Y.B. Tuan Muhammad Izuan Bin Ahmad Kasim

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berapakah jumlah pelaburan yang berjaya diperoleh oleh Kerajaan Negeri bagi tahun 2024?

    Bagi tempoh Januari hingga September 2024, sebanyak 1,371 projek telah diluluskan di Negeri Selangor dengan nilai pelaburan berjumlah RM 66.75 bilion. Jumlah pelaburan ini merangkumi projek pelaburan dalam sektor perkilangan, sektor perkhidmatan dan sektor perusahaan utama. Sebanyak RM 45.56 bilion (68.25%) daripada pelaburan tempatan dan sebanyak RM 21.19 bilion (31.74%) daripada pelaburan asing. Daripada projek – projek yang diluluskan ini, sebanyak 50,222 potensi peluang pekerjaan telah diwujudkan.

    Sektor perkilangan menyumbang sebanyak 22.47% kepada jumlah pelaburan yang diluluskan di Negeri Selangor. Sebanyak 253 projek perkilangan telah diluluskan dengan jumlah pelaburan bernilai RM 15.04 bilion. Daripada jumlah ini sebanyak RM 5.88 bilion adalah daripada pelaburan tempatan dan sebanyak RM 9.17 bilion daripada pelaburan asing. Sebanyak 15,035 potensi peluang pekerjaan telah diwujudkan.

    Sektor perkhidmatan pula menyumbang sebanyak 77.4% kepada jumlah pelaburan yang diluluskan di Negeri Selangor dengan 1,116 projek yang bernilai RM 51.67 bilion. Daripada jumlah ini sebanyak RM 39.65 bilion adalah daripada pelaburan tempatan dan sebanyak RM 12.02 bilion daripada pelaburan asing. Sebanyak 35,149 potensi peluang pekerjaan telah diwujudkan.

    Sektor perusahaan utama hanya menyumbang sebanyak RM 38.7 juta kepada jumlah pelaburan yang telah diluluskan di Negeri Selangor.

    Secara keseluruhan, pencapaian prestasi pelaburan di Negeri Selangor bagi tempoh Januari sehingga September 2024 telah melebihi sasaran yang telah ditetapkan untuk tempoh keseluruhan tahun 2024 iaitu sebanyak RM50 bilion.

  2. Apakah strategi kerajaan untuk memastikan ada peningkatan dari sudut pelaburan bagi tahun 2025?

    Antara strategi yang dilaksanakan untuk memastikan ada peningkatan dari sudut pelaburan bagi tahun 2025 seperti;-

    1. Melaksanakan program – program promosi penggalakan pelaburan dengan pertemuan secara fizikal mahupun virtual dengan pihak dewan-dewan perniagaan dalam dan luar negara termasuk misi-misi pelaburan yang akan terus diatur dan dilaksanakan bagi menarik pelaburan baru dan penambahan atau pengembangan pelaburan sedia ada.
    2. Memberi penekanan kepada industri – industri tumpuan seperti Sains Hayat, Pembuatan Makanan dan Minuman (F&B), Pembuatan Produk Elektrik & Elektronik, Kelengkapan Pengangkutan seperti industri Aeroangkasa dan Dron serta Mesin dan Peralatan bagi sektor pembuatan / perkilangan.

      Manakala bagi sektor perkhidmatan pula, Kerajaan memberi penumpuan kepada industri Perkhidmatan Logistik dan Digital Investment seperti Global Business Services (GBS), Data Centre serta Creative Content Technology.

    3. Memperkenalkan dan mempromosikan Negeri Selangor sebagai destinasi pelaburan utama di Malaysia dan rantau Asia Tenggara melalui penganjuran program – program pameran tahunan bertaraf antarabangsa seperti Selangor International Business Summit (SIBS) dan Selangor Aviation Show (SAS).
    4. Memperkenalkan pelbagai inisiatif seperti Selangor’s Investors Soft Landing Incentive Program, dan Selangor Lab Partnership Program bagi menyediakan kemudahan dan khidmat sokongan pelaburan yang diperlukan oleh pelabur serta membantu mempercepatkan perlaksanaan projek – projek pelaburan yang dirancang.
    5. Menggalakkan pembangunan kawasan – kawasan industri baru yang kondusif berkonsepkan Managed Industrial Park (MIP) untuk keperluan para pelabur.
    6. Mengadakan Mesyuarat Penyelarasan Projek secara berkala setiap bulan bagi memantau dan membantu menyelesaikan permasalahan yang dihadapi oleh pelabur agar cadangan projek pelaburan yang dirancang dapat dilaksanakan dalam tempoh yang ditetapkan
  3. Adakah kerajaan bersedia untuk mengambil peluang atas Pengerusian ASEAN oleh Malaysia bagi meningkatkan pelaburan?

    Sempena Persidangan ASEAN 2025 yang bakal dipengerusikan oleh Malaysia, Kerajaan Negeri melalui Invest Selangor akan terus melaksanakan persidangan tahunan iaitu Selangor International Business Summit (SIBS) dan ia bakal menjadi salah satu acara rasmi penganjuran Persidangan ASEAN 2025. Berdasarkan perbincangan awal dengan pihak Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), program ini berpotensi menjadi salah satu acara didalam kalendar program Kepengerusian ASEAN 2025 pada tahun ini.

    Selangor ASEAN Business Conference (SABC) yang ke-9 di bawah program SIBS 2025, akan membawa tema “Selangor, the Gateway To a More Inclusive and Sustainable ASEAN”. Selangor, pendukung utama integrasi serantau ASEAN sejak tahun 2017, akan menyelaraskan SABC dengan tema ASEAN 2025, iaitu “Inklusiviti dan Kelestarian.” Persidangan tahun ini menekankan peranan utama Selangor sebagai pintu masuk ke ASEAN.

    Melalui program ini, Kerajaan Negeri berpeluang untuk mempromosikan Negeri Selangor sebagai Gerbang Pasaran Asia Tenggara (Selangor, The Gateway to ASEAN) dan membuka ruang kolaborasi diantara Kerajaan (government), pengusaha (business) dan penduduk (people).

    Penganjuran SIBS 2025 akan diadakan pada 8 – 11 Oktober 2025, bertempat di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC), Kuala Lumpur.  Program kali ini bakal memberi lebih penekanan kepada potensi pengukuhan perdagangan serantau melalui perjanjian perdagangan yang telah dimeterai dan peluang pelaburan di rantau Asia Tenggara.

    Selain itu, Kerajaan Negeri Selangor juga akan turut menyertai program-program rasmi di bawah anjuran ASEAN Summit 2025 seperti pameran bersempena Mesyuarat di antara Menteri-Menteri Kewangan ASEAN bagi memahami hal ehwal kewangan negara-negara ASEAN serta mengenal pasti peluang kerjasama untuk membangunkan ekonomi serantau.

Lampiran

Tiada Lampiran.