Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025
18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025
138) LIBAT URUS PENDUDUK DALAM PEMBINAAN MENARA TELEKOMUNIKASI
Tahun: 2025
Sesi: 1
Isu: n/a
Adun: Y.B. Dato' Harrison Bin Hassan
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Dalam kerancakan pembinaan menara-menara telekomunikasi di sekitar DUN Jeram sejak beberapa bulan lalu, apakah langkah-langkah yang diambil oleh Yakin Telesel Sdn Bhd (YTSB) selaku agensi hentian setempat (OSA) lantikan Kerajaan Negeri dalam mendapatkan persetujuan penduduk terlebih dahulu sebelum memulakan pembinaan?
Pembinaan Menara Telekomunikasi di Selangor adalah berdasarkan Garis Panduan Perancangan Menara dan Struktur Sistem Pemancar Komunikasi di Negeri Selangor 2019 yang telah disediakan oleh pihak Jabatan Perancang Bandar dan Desa Negeri Selangor. Sekiranya terdapat aduan berkaitan struktur binaan tersebut, tindakan susulan akan dilaksanakan berdasarkan tatacara pengurusan aduan/bantahan seperti didalam garis panduan tersebut. Tatacara ini turut menerangkan tentang kepentingan serta nilai tambah pembinaan menara telekomunikasi tersebut kepada komuniti setempat.
Merujuk kepada aduan yang diterima di kawasan sekitar DUN Jeram, antara perkara-perkara yang dipanjangkan oleh pihak penduduk kepada pihak YTSB dan MPKS adalah kegusaran mereka berkenaan impak radiasi terhadap kawasan sekitar dan kawasan pembinaan struktur tersebut. Satu sesi penerangan berkaitan bantahan telah dijalankan pada 12 Oktober 2024 bersama penduduk berkaitan kegusaran mereka. Sesi ini telah diselaraskan oleh pihak YTSB dan turut serta dalam sesi penerangan tersebut adalah Agensi Nuklear, pemilik struktur, Majlis Perbandaran Kuala Selangor dan Pejabat Tanah Daerah Kuala Selangor.
Antara pengisian yang disampaikan adalah lokasi struktur tersebut mematuhi syarat-syarat yang telah di gariskan didalam Garis Panduan Perancangan Menara dan Struktur Sistem Pemancar Komunikasi di Negeri Selangor 2019 khususnya berkenaan ukuran jarak minimum bagi struktur pemancar ‘Multi Fungsi’ adalah lima (5) meter dari sisi bangunan terdekat. Untuk makluman Y.B Dato’, pengukuran jarak sebenar telah dilaksanakan ditapak dan jaraknya adalah 31 meter daripada sisi bangunan terdekat, iaitu kawasan perumahan. Permohonan telah pun dikemukakan kepada YTSB selaku OSA Negeri dan memperolehi kelulusan dasar daripada Pejabat Tanah Galian Selangor (PTGS) pada 9 Mei 2022 dan kelulusan bersyarat daripada Majlis Perbandaran Kuala Selangor pada 13 Mei 2024.
Manakala untuk isu radiasi pula, berdasarkan daripada penerangan daripada pihak Agensi Nuklear, radiasi yang dipancarkan oleh struktur telekomunikasi tersebut adalah jenis non-ionised radiation (NIR) yang tidak mempunyai tenaga yang cukup untuk membebaskan ion dan tidak mampu mengubah struktur sel badan manusia sekali gus tidak akan memberi kesan kepada kesihatan. Justeru itu bantahan penduduk terhadap pembinaan struktur komunikasi tersebut adalah tidak berasas.