Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025

18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025

134) PROJEK RANCANGAN TEBATAN BANJIR (RTB)

Tahun: 2025

Sesi: 1

Isu: n/a

Adun: Y.B. Tuan Muhammad Hilman Bin Idham

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah perancangan Kerajaan Negeri yang komprehensif bagi menyelesaikan masalah projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) yang sakit?

    Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Selangor sentiasa komited dalam melaksanakan pemantauan projek yang sedang berjalan. Di antara perkara yang boleh menyumbang kepada kelewatan projek di antaranya isu pengalihan utiliti, isu struktur binaan haram dan halangan di tapak.

    Kerajaan Negeri melalui YB EXCO Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Pertanian akan melaksanakan pemantauan pelaksanaan projek secara berkala melalui Mesyuarat Jawatankuasa Task Force Tebatan Banjir dan Mesyuarat Jawatankuasa Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) bagi memastikan bidang tugas bagi setiap Ahli Jawatankuasa dapat dipenuhi. Mesyuarat Jawatankuasa Task Force Tebatan Banjir dan Mesyuarat Jawatankuasa SJAM akan dilaksanakan sebanyak dua (2) kali setahun secara selang seli.

    Ahli mesyuarat yang terlibat adalah Pegawai Kewangan Negeri, Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor (UPEN), Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Selangor (JPS), Jabatan Kerja Raya Negeri Selangor (JKR), Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Perancang Bandar dan Desa (JPBD), Jabatan Perhutanan, Unit Bencana Negeri Selangor, Pegawai-pegawai Daerah dan Datuk Bandar/ Yang Dipertua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

    Mesyuarat ini akan membincangkan isu dan cadangan penyelesaian banjir secara holistik di mana bidang tugas jawatankuasa ini adalah seperti berikut :

    1. Pemantauan status pelaksanaan projek pembangunan dan penyelesaian isu yang menyebabkan kelewatan projek;
    2. Pelaporan mitigasi banjir dan cadangan penyelesaian banjir;
    3. Penyelarasan parit/ longkang di setiap agensi terlibat;
    4. Penyelarasan maklumat bagi setiap inventori infrastruktur yang lengkap;
    5. Penilaian dan perancangan setiap laporan dan rekod banjir termasuk kawasan hotspot dan kawasan risiko banjir;
    6. Pemantauan ke atas program pembangunan tanah;
    7. Penguatkuasaan secara berkala melalui operasi-operasi bersepadu di antara agensi contohnya Ops Lumpur;
    8. Persediaan awal bagi menghadapi musim hujan dan penyelengaraan infrastruktur saliran;
    9. Pengesyoran tindakan yang perlu diambil untuk disyorkan kepada Kerajaan Negeri;
    10. Penyelarasan maklumat berpandukan Selangor Off River Storage Scheme (SORSS);
    11. Pembinaan tadahan air ribut komuniti (Community On Site Detention-OSD) di setiap pembangunan baharu bertujuan untuk pengawalan di sumber; dan
    12. Pelarasan pembangunan kolam secara bersepadu melibatkan kolam milik Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bersama Lembaga Urus Air Selangor (LUAS).

    Selain daripada itu, Kerajaan Negeri turut dalam perancangan untuk membuat kajian semula terhadap aspek perolehan melibatkan pelantikan kontraktor penyelamat dengan merangkumi proses pelantikan, kelayakan, nilai tender dan sebagainya bagi kontraktor penyelamat.

Lampiran

Tiada Lampiran.