Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025
18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025
129) BANJIR DI KAWASAN TAMAN SAUJANA PERDANA
Tahun: 2025
Sesi: 1
Isu: n/a
Adun: Y.B. Dato' Dr. Halim Bin Tamuri
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah faktor-faktor yang menyebabkan kawasan ini dilanda banjir?
Berdasarkan kepesatan pembangunan dan kepadatan penduduk yang semakin bertambah, sistem saliran di saluran keluar kawasan Perumahan Saujana Utama tidak dapat menampung kapasiti aliran air untuk mengalir keluar ke Sungai Buloh dan menyebabkan berlaku kejadian banjir. Kawasan ini yang dikelilingi dengan pembangunan-pembangunan lain seperti Seri Pristana, Seri Alam dan Bukit Saujana turut menyumbang kadar aliran air ke saluran keluar yang sama.
-
Bagaimana kelulusan aras tapak rumah ini diluluskan di kawasan berisiko banjir?
Untuk makluman Yang Berhormat, sebarang kelulusan aras tapak rumah hanya ditentukan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan maklumat ke atas kawasan berisiko banjir perlu dibuat oleh pihak pemaju dengan merujuk kepada Bahagian Pengurusan Sumber Air dan Hidrologi, Jabatan Pengairan dan (JPS) Malaysia untuk dipadankan dengan cadangan platform yang sesuai. Manakala bagi cadangan sistem saliran di kawasan pembangunan, JPS Negeri Selangor akan memastikan reka bentuk perlu dilihat dari pelbagai sudut dengan mengambilkira simulasi analisis hidrologi dan permodelan termasuk kadar hujan, kadar larian (run-off coefficient), kadar tahun banjir (storm return period) dan sebagainya bagi mencapai keberkesanan yang lebih maksimum.
-
Apakah langkah-langkah yang diambil bagi mengatasi banjir yang kerap berlaku?
Bagi penyelesaian jangka panjang, JPS Negeri Selangor telah melantik perunding untuk melaksanakan kajian reka bentuk terperinci bagi Projek Menaiktaraf Sistem Saliran di Kawasan Saujana Utama dan ianya masih di peringkat Draft Final Report. Skop projek yang dicadangkan termasuk penaiktarafan sistem saliran, pengukuhan tebing parit serta pengalihan utiliti. JPS Negeri Selangor menjangkakan projek penaiktarafan ini dapat ditender pada sukuan keempat tahun 2026 di bawah Rancangan Selangor (RS) Ke-2.
Bagi penyelesaian jangka pendek, JPS Daerah Kuala Selangor sedang melaksanakan kerja-kerja penggalian serta pembersihan halangan di dalam saliran utama Saujana Utama.