Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025

18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025

122) PENDIDIKAN TENTANG ALAM SEKITAR

Tahun: 2025

Sesi: 1

Isu: n/a

Adun: Y.B. Puan Pang Sock Tao

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Pendidikan memainkan peranan penting dalam kehidupan kita. Adakah Kerajaan Negeri berhasrat untuk memperkenalkan apa-apa inisiatif bagi memupuk kesedaran alam sekitar dalam kalangan generasi muda?

    Kerajaan Negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan/ Agensi Kerajaan sentiasa komited untuk memupuk kesedaran berkaitan alam sekitar di semua peringkat masyarakat termasuk  di kalangan generasi muda. Pelbagai inisiatif telah dan sedang dirangka untuk tujuan ini. Antara inisiatif tersebut adalah seperti berikut:

    1. Program Sekolah Lestari – Anugerah Alam Sekitar (SLAAS) anjuran Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor
    • Program yang memfokuskan kepada aspek pendidikan dan kesedaran yang memberi kefahaman tentang konsep kesejahteraan alam sekitar dan pembangunan lestari, selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG). Program yang melibatkan sekolah-sekolah di Negeri Selangor ini juga turut merupakan program pengiktirafan kepada sekolah-sekolah yang menunjukkan komitmen tinggi terhadap usaha pemeliharaan alam sekitar dalam semua aspek seperti kurikulum, penghijauan, teknologi hijau dan lain-lain.

         2. Kempen Kesedaran Alam Sekitar

    • Kempen-kempen alam sekitar yang diadakan adalah untuk menggalakkan penghayatan, pengamalan dan pembudayaan gaya hidup mesra alam di kalangan masyarakat terutamanya generasi muda. Antara kempen-kempen yang telah dilaksanakan adalah seperti berikut:
    • Karnival Alam Sekitar anjuran Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN);
    • Program E-Waste Recycling Bersama Komuniti Klang anjuran Majlis Bandaraya DiRaja Klang (MBDK);
    • Program Pengasingan Sisa Sekolah oleh Majlis Bandaraya Subang Jaya;
    • Penyediaan Tong Buangan Sisa Elektronik (E-Waste) Di Kawasan Tumpuan Awam Majlis Daerah Sabak Bernam; dan
    • Pameran Kitar Semula Di Karnival Ekstrem Geopark @ Gua Damai Extreme Park oleh Majlis Perbandaran Selayang.

    Bagi meningkatkan tahap kesedaran awam terutama dalam kalangan generasi muda, Kerajaan Negeri berhasrat untuk meneruskan penganjuran program-program alam sekitar dengan kerjasama PBT, PDT, Badan Bukan Kerajaan serta sektor swasta seperti program penanaman pokok, pembersihan kawasan pantai dan kempen kitar semula. Sebagai contoh, program pembersihan Pantai Kelanang oleh Google Malaysia Sdn. Bhd., aktiviti penanaman pokok bakau di Hutan Simpan Banjar Utara dengan kerjasama Green Actions Solution dan CBRE Asia Pacific Business Services Sdn. Bhd serta Program Door-to-Door Recycling dengan kerjasama Nestle Malaysia.

    Dari aspek pendidikan pula, Kerajaan Negeri berhasrat untuk bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam masa terdekat untuk mewujudkan modul dan program berkaitan kitar semula, pengumpulan sisa elektronik (E-Waste) dan penghijauan sebagai salah satu elemen Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) di sekolah-sekolah di Negeri Selangor.

    Melalui inisiatif ini, Kerajaan Negeri berharap dapat melahirkan generasi muda yang lebih peka terhadap kepentingan untuk memelihara dan memulihara alam sekitar serta berupaya mengamalkan gaya hidup yang lebih lestari.

Lampiran

Tiada Lampiran.