Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025

18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025

121) SISTEM E-TANAH

Tahun: 2025

Sesi: 1

Isu: n/a

Adun: Y.B. Tuan Mu'izzuddeen Bin Mahyuddin

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah prosedur pemindahan maklumat pindah milik hartanah dari manual kepada E-Tanah?

    Pelaksanaan Sistem Pendaftaran Tanah Berkomputer (SPTB) telah pun dilaksanakan di negeri Selangor sejak tahun 2001. Dan seterusnya Sistem e-Tanah pula diperkenalkan untuk menggantikan SPTB pada 26 Oktober 2023 bertujuan menjadikan urusan pendaftaran tanah lebih mudah, tersusun dan selamat.

    Oleh itu, pemindahan maklumat dan data hartanah secara manual telah pun dilaksanakan sejak pengenalan SPTB bermula tahun 1999 dan telah selesai pada tahun 2000 sebelum SPTB digunakan sepenuhnya pada tahun 2001. Manakala pengenalan Sistem e-Tanah yang menggantikan SPTB telah melalui beberapa prosedur asas bagi pengurusan data iaitu:

    1. Penyemakan dan pengesahan rekod pada SPTB dan Dokumen Hakmilik Daftar Komputer (DHDK) bagi memastikan kesahihan serta ketepatan maklumat;
    2. Pendigitalan dan imbasan data daripada rekod fizikal ke dalam format elektronik yang memenuhi keperluan sistem baharu;
    3. Migrasi data daripada sistem-sistem legasi seperti SPTB;
    4. Proses tukarganti hakmilik daripada SPTB kepada Sistem e-Tanah setelah Sistem e-Tanah diwartakan; dan
    5. Pelaksanaan Sistem e-Tanah dan sokongan pengguna
  2. Apakah kemajuan transisi proses pindahan hak milik hartanah daripada sistem manual kepada sistem E-Tanah setakat ini?

    Setakat ini, proses tukarganti hak milik ke dalam Sistem e-Tanah telah dilaksanakan sepenuhnya bagi 1,538,625 hak milik tanah dan 868,814 hak milik strata di negeri Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.