Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025
18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025
70) HAK MILIK TANAH KAMPUNG BARU CINA
Tahun: 2025
Sesi: 1
Isu: n/a
Adun: Y.B. Tuan Yew Jia Haur
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah status terkini mengenai penyelesaian isu hak milik tanah di Kampung Baru Cina?
Kerajaan Negeri Selangor telah mengambil pendekatan dimana satu (1) pekeliling telah dikeluarkan khusus untuk menyelesaikan isu hakmilik tanah Kampung Baru Cina dimana pekeliling PTGS Bil 4/1999 iaitu cadangan premium tanah di bawah kategori perniagaan/industri akan diberikan diskaun sebanyak 50% dari premium yang dikenakan. Manakala bagi tujuan kediaman dan pertanian mengikut sepertimana yang dinyatakan di dalam Pekelilling PTGS 6/2011 dan 3/2020.
-
Adakah terdapat rancangan untuk mempercepatkan proses ini bagi memberi manfaat kepada penduduk?
Kerajaan Negeri sentiasa komited di dalam mempercepatkan semua jenis urusan tanah di Negeri Selangor bagi tempoh kelulusan di bawah Seksyen 76 adalah selama 112 hari bekerja mulai dari tindakan Pejabat Tanah dan Daerah sehingga Notis 5A diberikan kepada pemohon yang berjaya. Walaubagaimanapun, tempoh ini tidak termasuk laporan-laporan dari Jabatan Teknikal, bayaran premium oleh pemohon dan hakmilik dikeluarkan.
-
Adakah terdapat rancangan untuk memberikan hak milik tanah kekal kepada penghuni Kampung Baru Cina?
Di bawah seksyen 76 KTN, pemberimilikan tanah kerajaan adalah satu tempoh yang tidak melebihi daripada sembilan puluh sembilan (99) tahun. Walau bagaimanapun di bawah seksyen 76(aa) (ii) dan (iii) KTN 1965, pemberimilikan tanah secara pegangan selama-lamanya boleh dilaksanakan jika sekiranya Pihak Berkuasa Negeri berpuas hati bahawa tanah itu akan digunakan untuk tujuan awam (seksyen 76(aa)(i)) dan jika sekiranya Pihak Berkuasa Negeri berpuas hati bahawa terdapat keadaan-keadaan khas yang memerlukan ia berbuat demikian (seksyen 76(aa)(iii)).
Bagi maksud pemberimilikan dalam keadaan-keadaan khas, Kerajaan Negeri Selangor menerima pakai “Ketetapan Majlis Tanah Negara ke-64 Mengenai Pemberimilikan Tanah Dalam Keadaan-Keadaan Khas untuk pegangan kekal di bawah seksyen 76(aa)(ii) KTN 1965” melalui PekelilingKetua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (KPTG) Bilangan 1/2009.