Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025
18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025
65) SETIAP TAHUN JUMLAH PELAJAR YANG MEMOHON BANTUAN PINJAMAN DARI YAYASAN SELANGOR MENINGKAT DENGAN KADAR YANG SIGNIFIKAN DENGAN KEJAYAAN ANAK-ANAK SELANGOR DALAM PELBAGAI BIDANG. NAMUN JUMLAH KEMUDAHAN TIDAK BERKEMBANG SEIRING KEPERLUAN
Tahun: 2025
Sesi: 1
Isu: n/a
Adun: Y.B. Tuan Dr. Mohd Zamri Bin Mohd Zainuldin
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Bagaimana Kerajaan Negeri dapat memastikan lebih banyak pelajar luar bandar mendapat akses kepada biasiswa dan pinjaman untuk pendidikan tinggi?
Kerajaan Negeri telah menunjukkan komitmen yang tinggi dalam memastikan anak-anak Selangor mendapat peluang pendidikan yang setara dan berkualiti agar dapat melahirkan generasi unggul. Melalui Inisiatif Pendidikan Selangor merupakan salah satu daripada enam sektor di bawah Iltizam Selangor Penyayang, Kerajaan Negeri menawarkan pelbagai pembiayaan pendidikan menerusi Tabung Kumpulan Wang Biasiswa Negeri Selangor (TKWBNS), Tabung Pendidikan Anak-anak Syarikat dan Badan-badan Berkanun Negeri Selangor (TPASBB), dermasiswa Lembaga Zakat Selangor dan pinjaman Yayasan Selangor.
Selain itu, bagi terus memperkasakan mutu pendidikan, Kerajaan Negeri turut melaksanakan inisiatif Hadiah Pengajian Institut Pengajian Tinggi, Peduli Siswa, Iltizam Mahasiswa Selangor, Iltizam Pendidikan Fardhu Ain, Program Tuisyen Rakyat Selangor, Program Bantuan Sekolah Negeri Selangor, Bantuan Yuran Asas Universiti (BAYU), dan Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Iktisas Smart Selangor (IKTISASS).
Dalam mencapai matlamat untuk memastikan pendidikan tinggi dapat diakses oleh semua golongan, khususnya mereka yang berasal dari keluarga berpendapatan rendah, Kerajaan Negeri melalui Yayasan Selangor boleh meningkatkan jumlah peruntukan bagi memperluaskan jumlah penerima pembiayaan pendidikan, walau bagaimanapun, ianya tertakluk kepada kedudukan kewangan Yayasan Selangor.