Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025
18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025
50) KENAIKAN CUKAI TAKSIRAN
Tahun: 2025
Sesi: 1
Isu: n/a
Adun: Y.B. Tuan Chua Wei Kiat
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Bagaimanakah pihak berkuasa tempatan (PBT) akan menggunakan lebihan pendapatan daripada kenaikan cukai taksiran bagi tahun 2025?
Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor akan menggunakan peningkatan pendapatan daripada kenaikan cukai taksiran bagi tahun 2025 untuk meningkatkan keupayaan PBT melalui penyediaan dan penambahbaikan infrastruktur awam serta pemantapan perkhidmatan di kawasan masing-masing. Ini termasuk menaik taraf infrastruktur seperti jalan, longkang, dewan, pasar awam dan juga menampung peningkatan kos pengurusan kutipan sampah serta keperluan lain PBT. Kenaikan cukai taksiran sebanyak 25% di Selangor dengan tambahan pendapatan RM382 juta setahun ini, akan dimanfaatkan untuk tujuan-tujuan tersebut dengan fokus untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan dan infrastruktur yang disediakan oleh PBT kepada penduduk setempat.
-
Nyatakan projek atau kerja yang akan dilaksanakan oleh MPS menggunakan pendapatan daripada kenaikan cukai ini.
Majlis Perbandaran Selayang akan meningkatkan kualiti perkhidmatan perbandaran kepada penduduk di bawah pentadbiran MPS. Jangkaan penambahan hasil sebanyak RM26 juta melalui semakan Cukai Taksiran ini juga akan digunakan untuk melaksanakan perkara berikut secara berperingkat sebagai nilai tambah:
KOMITMEN JANGKA MASA SEGERA
- INSENTIF PEMBAYAR CUKAI TAHUN 2025 (BIL PERTAMA) Pemberian tong sampah 80L secara percuma kepada pembayar Cukai Taksiran (melebihi RM200.00) dan membuat bayaran penuh (1 tahun). Pemberian akan dilaksanakan secara berperingkat bermula bulan Mac 2025. (Terhad kepada 4500 unit pertama).
- PEMBEKALAN TONG SAMPAH DI PERUMAHAN STRATA Pembekalan tong sampah di kawasan perumahan strata bagi menggantikan tong yang telah rosak. Pembekalan akan dilaksanakan secara berperingkat mulai Januari 2025.
- PENAMBAHAN PENCAHAYAAN Penambahan pencahayaan dengan menggunakan teknologi Solar LED di kawasan lapang serta kawasan yang berisiko secara berperingkat untuk mengurangkan kes jenayah.
- SISTEM TEMPAHAN UNTUK KEMUDAHAN FASILITI SUKAN Menaik taraf kaedah tempahan dan bayaran bagi fasiliti-fasiliti kemudahan awam MPS yang dilaksanakan secara manual kepada sistem dalam talian (online).
- KAWALAN ANJING LIAR Penambahan jumlah pasukan tangkapan melalui program task force tangkapan anjing liar, penggantian kenderaan tangkapan haiwan dan memperkasakan program GIDOP (Give and Adopt) bagi anjing liar yang ditangkap.
- PAPAN TANDA NAMA TAMAN Projek papan tanda taman bagi tahun 2025 sebanyak 74 unit dan tahun 2026 sebanyak 73 unit. Keseluruhan kawasan 147 unit papan tanda nama taman.
- KELULUSAN LESEN SERTA MERTA Menambah senarai aktiviti perniagaan yang boleh diluluskan secara lesen serta-merta daripada 23 aktiviti (sedia ada) kepada 69 aktiviti (keseluruhan). Cadangan penambahan sebanyak 46 aktiviti untuk dilaksanakan pada tahun 2025.
9. PENAMBAHAN CCTV Penambahan pemasangan 50 unit CCTV baharu di kawasan yang bersesuaian terutamanya yang melibatkan kawasan hotspot jenayah dan sampah haram.
KOMITMEN JANGKA MASA SEDERHANA
- MENAIK TARAF DAN PENAMBAHAN FASILITI SUKAN
Menaik taraf dan menambah fasiliti sukan iaitu gelanggang pelbagai guna yang berbumbung (futsal / basketball / volleyball) di kawasan lapang selenggaraan dan seliaan MPS. Cadangan bagi projek ini adalah 1 projek bagi 1 mukim setiap tahun.
- PUSAT KITAR SEMULA BERSEPADU
Membina Pusat Kitar Semula Bersepadu di Rawang Perdana dan tumpuan akan terarah kepada sisa organik dari premis makanan dan pasar terpilih, sisa kebun dari penyelenggaraan dalaman dan kontraktor serta sisa minyak terpakai dari orang awam dan premis makanan di seluruh MPS.
- PAPAN TANDA PEMAKLUMAN CERUN
Cadangan pemasangan papan tanda cerun di 256 kawasan secara berfasa sepanjang tahun 2025/2026. Papan tanda akan dilengkapi Kod QR bagi informasi cerun termasuk penyelenggaraan dan pemilik cerun berkaitan.
KOMITMEN JANGKA MASA PANJANG
- PELAN TINDAKAN BANDAR PINTAR SELAYANG 2030 Melancarkan Pelan Tindakan Bandar Pintar MPS ke arah menjadikan Selayang Perbandaran Pintar menjelang tahun 2030.
- NAIK TARAF KOLAM AIR PANAS
Menaik taraf Kolam Air Panas Selayang sebagai salah satu lokasi eko-pelancongan utama di Daerah Gombak.
- PENAMBAHBAIKAN PERMOHONAN MEMBAIKI BANGUNAN
Cadangan permohonan kategori baiki bangunan boleh diluluskan dengan serta-merta (permohonan lengkap) bagi 8 kategori permohonan tanpa perlu menunggu 7 hari bekerja.