Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025

18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025

29) KESIHATAN MENTAL

Tahun: 2025

Sesi: 1

Isu: n/a

Adun: Y.B. Tuan Yew Jia Haur

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah inisiatif Kerajaan Negeri dalam memperluaskan akses kepada perkhidmatan kesihatan mental, terutamanya di kawasan luar bandar dan berpendapatan rendah?

    Kerajaan Negeri Selangor telah memperkenalkan Program Selangor Mental Sihat (SEHAT) untuk membantu individu yang terkesan akibat masalah mental. Bagi tahun 2025, terdapat tiga (3) inisiatif utama akan dilaksanakan di bawah Program SEHAT khusus bagi membantu individu yang terkesan dengan masalah mental terutama di kalangan yang berpendapatan rendah dan di kawasan luar bandar seperti berikut:

    • Program Kaunselor Hab SEHAT 

    Program Kaunselor Hab SEHAT merupakan inisiatif yang dilaksanakan dengan kerjasama Persatuan Kaunseling Malaysia. Program ini menawarkan khidmat kaunseling

    secara percuma kepada masyarakat setempat pada setiap hari Sabtu bermula pada jam 9 pagi sehingga jam 1 tengah hari. Kaunselor HAB SEHAT ini disediakan di 11 buah Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) di setiap daerah Negeri Selangor.

    • Program Talian SEHAT

    Program Talian SEHAT merupakan satu inisiatif yang dilaksanakan dengan kerjasama Pusat Kaunseling Selangor bersama-sama dengan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor untuk memberikan akses awal kepada perkhidmatan kaunseling. Talian SEHAT ini beroperasi dari hari Isnin hingga Jumaat, jam 8.00 pagi hingga 4.30 petang di dua (2) talian khidmat pelanggan berikut:

    1. 1700-82-7536; dan
    2. 1700-82-7537

    Program Subsidi Rawatan Psikiatri dan Psikologi

    Bermula pada tahun 2022, Kerajaan Negeri Selangor telah memperkenalkan inisiatif subsidi rawatan psikiatri dan psikologi klinikal kepada individu yang memerlukan rawatan di klinik panel berdaftar di bawah Program SEHAT. Manfaat ini diberikan kepada individu yang telah menjalani saringan kesihatan mental di aplikasi SELANGKAH dan menerima pengesahan sama ada daripada klinik Selcare, Talian SEHAT atau Kaunselor Hab SEHAT.

  2. Apakah statistik pesakit mental yang makin meningkat mengikut jantina sejak tahun 2020 (tahun bermulanya Covid-19 dan PKP) sehingga tahun 2024?

    Berdasarkan data daripada Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, jumlah kemasukan (inpatient) pesakit ke wad psikiatri di hospital-hospital di Negeri Selangor telah meningkat daripada 2,294 orang pesakit pada tahun 2020 kepada 3,401 orang pesakit pada tahun 2024, iaitu peningkatan sebanyak 48.26%. Bagi tahun 2020 sehingga 2024, bilangan pesakit di kalangan lelaki adalah seramai 6,934 orang, bersamaan dengan 53% berbanding pesakit di kalangan wanita seramai 6,034 orang pesakit bersamaan dengan 47%.

Lampiran

Tiada Lampiran.