Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025
18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025
8) TAHUN MELAWAT SELANGOR 2025
Tahun: 2025
Sesi: 1
Isu: n/a
Adun: Y.B. Tuan Chua Wei Kiat
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah strategi dan program yang dirancang untuk menarik pelancong sempena Tahun Melawat Selangor 2025?
Untuk makluman Yang Berhormat, berikut merupakan strategi Kerajaan Negeri melalui Tourism Selangor (TSSB) sebagai Agensi Promosi Pelancongan Rasmi Negeri untuk mempromosikan sektor pelancongan negeri sempena penganjuran Kempen Tahun Melawat Selangor 2025 (TMS 2025):
Program Hebahan dan Promosi Pelancongan:
- Melaksanakan kempen pengiklanan melalui pelbagai saluran seperti papan iklan digital, media cetak dan elektronik, serta platform dalam talian dan media sosial. Selain itu, sebanyak 15 buah pesawat Air Asia telah diperuntukkan 20 slot paparan iklan di tempat bagasi (overhead) dan 6 slot paparan iklan di belakang tempat duduk dengan kontrak selama 2 tahun;
- Menghasilkan kandungan kreatif berdasarkan trend semasa dengan bekerjasama dengan pempengaruh media sosial, YouTuber dan vlogger;
- Melaksanakan kempen pengiklanan berbayar di platform seperti YouTube, Facebook, dan TikTok;
- Melaksanakan kerjasama dengan platform tempahan pelancongan dalam talian seperti Agoda, Booking.com dan Expedia; dan
- Mengadakan peraduan berkala dengan menawarkan hadiah seperti baucar pelancongan, hotel dan taman tema.
Program Promosi Domestik:
- Menganjurkan lebih 100 acara dan program di setiap daerah sepanjang tahun 2025 seperti Selangor Travel Fair, menyertai MATTA Fair, Skuad Visit Selangor Year dan program jelajah negeri; dan
- Memperkenalkan program pelancongan tematik seperti pelancongan warisan, pelancongan gastronomi, pelancongan alam semula jadi dan pelancongan sukan ekstrem.
Program Promosi Antarabangsa:
Mengambil bahagian dalam acara pelancongan seperti World EXPO 2025 di Osaka, ITB Berlin 2025, OTM Mumbai, ATM Dubai 2025 dan misi jualan ke India, China, Macau, dan Taiwan.
Pembangunan Produk Pelancongan:
- Memperkenalkan geran khas sebagai insentif kepada penggiat industri pelancongan untuk mempergiat usaha promosi TMS2025; dan
- Melaksanakan program komuniti seperti Hos Komuniti Setempat (HKSS), Program Heritage Walk dan Program Pengiktirafan Produk Pelancongan.
- Program Kerjasama dengan Pemain Industri Pelancongan:
- Menjalinkan kerjasama dengan pemain industri pelancongan seperti pengusaha hotel, pengendali pelancongan, pemandu pelancong dan pembekal produk pelancongan untuk menawarkan pakej pelancongan yang menarik dan berpatutan; dan
- Menjalin perkongsian strategik dengan Agensi Pelancongan untuk menyediakan promosi dan tawaran menarik seperti potongan harga untuk pelancong antarabangsa yang datang ke Negeri Selangor.
- Penggunaan Teknologi dan Inovasi
- Membangunkan aplikasi pelancongan Negeri Selangor untuk memudahkan pelancong merancang jadual perjalanan serta menyediakan maklumat terkini mengenai destinasi menarik, penginapan, restoran dan acara pelancongan; dan
- Mengintegrasikan teknologi AR/VR untuk pengalaman pelancongan yang lebih interaktif dan menarik melalui penggunaan teknologi.
Pemantauan dan Penilaian
Melaksanakan penilaian berkala mengenai impak dan keberkesanan kempen dan aktiviti pelancongan yang dilaksanakan, serta menyesuaikan strategi mengikut keperluan pasaran.Sokongan daripada Kerajaan Negeri
Menyediakan insentif dan geran kepada pemain industri pelancongan yang terlibat dalam kempen TMS 2025.
Selain itu, Kerajaan Negeri Selangor melalui pihak TSSB dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah merancang lebih daripada 50 inisiatif program pelancongan sempena Kempen TMS 2025. Berikut merupakan ringkasan program dan perincian adalah seperti di Lampiran 1:
-
Bagaimanakah Kerajaan Negeri memastikan tahap kebersihan kawasan pelancongan berada pada tahap yang memuaskan?
Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri Selangor melalui kerjasama pihak PBT dan Operator Produk Pelancongan mengambil pelbagai langkah untuk memastikan tahap kebersihan kawasan pelancongan sentiasa berada pada tahap yang memuaskan. Setiap PBT dan operator produk pelancongan bertanggungjawab untuk melantik kontraktor pembersihan bagi memastikan kebersihan di lokasi-lokasi pelancongan yang berada di bawah seliaan mereka. Sebagai contoh, pihak TSSB telah melantik kontraktor pembersihan yang ditugaskan untuk melakukan kerja-kerja pembersihan secara berjadual setiap hari bagi Taman Eko Rimba Kanching di Rawang.
-
Berapakah peruntukan tambahan yang diberikan khusus untuk Tahun Melawat Selangor 2025?
Tahun Melawat Selangor 2025 secara rasminya telah dilancarkan pada 2 November 2024 semasa program pelancongan Selangor Travel Fair yang telah dilaksanakan di Sunway Pyramid. Pada tahun 2024, peruntukan awal bagi sektor pelancongan adalah sebanyak RM 6 juta. Kerajaan Negeri telah menyediakan peruntukan tambahan sebanyak RM 3 juta sebagai persediaan bagi menghadapi TMS 2025. Bagi tahun 2025, peruntukan yang diluluskan adalah RM 8 juta di bawah Vot P01: PK10 Pelancongan berbanding RM 6 juta untuk Belanjawan Tahun 2024.