Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024

408) ISU PENCEN KEPADA WARIS ANAK OKU

Tahun: 2024

Sesi: 3

Isu: n/a

Adun: Y.B. Tuan Wan Dzahanurin Bin Ahmad

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah syarat pencen ibu bapa kakitangan kerajaan untuk diwarisi kepada anak OKU yang di sahkan mengidap penyakit bipolar atau setara dengannya? (bukan oku cacat anggota)

    Mengikut Seksyen 2 (b) Akta Pencen 1980, anak cacat atau anak kurang upaya ditafsirkan sebagai:

    “Seorang anak yang tidak kira apa jua umurnya dan yang cacat otak atau hilang upaya dari segi jasmani dan secara kekal dan yang tidak berupaya untuk menanggung dirinya sendiri dengan syarat anak itu adalah anak cacat otak atau hilang upaya dari segi jasmani dan secara kekal sebelum anak itu mencapai umur dua puluh satu tahun”.

    Pekeliling Perkhidmatan MyPPSM, PP.1 mentafsirkan ‘Anak Kurang Upaya Tanggungan Pesara’ sebagai:

    “Anak kepada penjawat awam atau pesara yang mengalami ketidakupayaan otak, ketidakupayaan anggota ataupun kecelaruan mental.” (dengan pengesahan Pegawai Perubatan atau Pakar Psikiatri) dan anak kurang upaya tanggungan pesara terbahagi kepada 3 jenis kategori:

    1. Anak yang mengalami ketidakupayaan otak;
    2. Anak yang mengalami ketidakupayaan anggota (jasmani); dan
    3. Anak yang mengalami kecelaruan mental atau mental disorder.

    Melalui pekeliling yang sama, syarat-syarat atau kelayakan anak kurang upaya tanggungan pesara adalah seperti berikut:

    • ketidakupayaan otak atau hilang upaya dari segi jasmani;
    • ketidakupayaan itu kekal;
    • tidak berupaya menanggung (menyara) dirinya sendiri; dan
    • ketidakupayaan hendaklah berlaku sebelum mencapai umur 21 tahun.

     

    Pekeliling tersebut juga menjelaskan faedah yang bakal dinikmati oleh anak kurang upaya tanggungan pesara adalah seperti berikut:

    1. Layak mewarisi pencen terbitan setelah kematian penjawat awam atau pesara (sepanjang hayat); dan
    2. Layak menikmati kemudahan perubatan di hospital / klinik kerajaan (sepanjang hayat).

Lampiran

Tiada Lampiran.