Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024
374) FASILITI DAN INFRASTRUKTUR TAMAN DI DUN KUANG
Tahun: 2024
Sesi: 3
Isu: n/a
Adun: Y.B. Tuan Mohd Rafiq Bin Mohd Abdullah
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Puteri Central Park merupakan taman rekreasi yang sepatutnya lengkap dengan fasiliti dan infrastruktur seperti tandas. Malangnya tandas tidak dapat digunakan atas sebab-sebab yang tidak diketahui. Apakah Tindakan pihak berkenaan untuk memeriksa, membaiki dan menyelenggara fasiliti dan infrastruktur taman-taman di Kuang?
Untuk makluman Yang Berhormat, Taman Awam Puteri Central Park dilengkapi fasiliti dan infrastruktur untuk kemudahan pengunjung seperti laluan jogging, peralatan permainan kanak-kanak, wakaf, gelanggang permainan, tandas dan tempat letak kereta awam. Namun kemudahan yang disediakan ini seringkali mengalami kerosakan akibat aktiviti vandalism yang agak tinggi terutamanya komponen tandas seperti pili air, sinki, paip yang sering rosak atau hilang selain tandas yang tersumbat akibat daripada aktiviti pembuangan lampin, pakaian dan lain-lain ke dalam mangkuk tandas.
Sebagai rekod, beberapa kerja pembaikan tandas telah dilaksanakan bagi menyelesaikan aduan-aduan awam yang diterima. Selain itu, kontraktor penyelenggaraan taman yang dilantik juga sering mengganti pili dan paip air yang hilang selain melakukan pembersihan tandas pada setiap hari. Bagi memastikan keselesaan orang awam yang berkunjung di taman ini, pihak Majlis akan sentiasa meneruskan tindakan membaik pulih dan penyelenggaraan secara berterusan.
Berikut adalah senarai kerja-kerja pembaikan yang melibatkan kemudahan rekreasi dan tandas awam pada tahun 2023 dan kerja-kerja yang sedang dalam proses pelaksanaan di tapak bagi tahun 2024 seperti berikut:
Bil Tajuk Kerja Tahun 1 Kerja-kerja baikpulih alatan permainan bersepadu dan lantai EPDM untuk kawasan taman permainan kanak-kanak 2023 (selesai)
2 Kerja-kerja pembaikan dan pemasangan semula pili air, paip dan mangkuk tandas. 2023 (selesai)
3 Kerja-kerja mengganti papantanda pemberitahuan taman. 2024 (sedang dilaksanakan)
4 Kerja-kerja baikpulih tandas dan penggantian komponen tandas yang rosak. 2024 (sedang dilaksanakan)
Bagi taman-taman permainan termasuk di kawasan Kuang, Majlis melaksanakan kerja-kerja pembersihan peralatan permainan dan semua komponen landskap kejur yang lain melalui kontrak penyelenggaraan secara berkala. Sekiranya berlaku sebarang kerosakan kepada kemudahan rekreasi, kerja-kerja membaikpulih atau mengganti peralatan yang baru akan dilaksanakan melalui lantikan kontraktor panel Majlis.
-
Senaraikan Langkah-langkah yang diambil untuk memastikan keselamatan pengguna taman rekreasi terjamin terutamanya bagi pengguna-pengguna di sebelah petang.
Yang Berhormat, berikut adalah langkah-langkah yang akan dan telah diambil bagi keselamatan pengguna taman rekreasi:
- Cadangan pemasangan papan tanda pemberitahuan waktu penggunaan taman dan yang berkaitan keselamatan. (Kerja-kerja ini sedang dalam pelaksanaan di tapak).
- Penyediaan lampu di kawasan tempat letak kereta. (Telah disediakan)
- Cadangan pemasangan lampu dalam keseluruhan kawasan taman. (Akan dilaksanakan menggunakan peruntukan Majlis pada tahun 2025.)
- Melaksanakan kerja-kerja pemangkasan pokok yang menghalang pandangan terus ke kawasan taman. (Telah dilaksanakan)