Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024
342) PELAN PEMBAHARUAN KAWASAN PERUMAHAN
Tahun: 2024
Sesi: 3
Isu: n/a
Adun: Y.B. Datuk Seri Jamil Bin Salleh
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah usaha Kerajaan Selangor untuk menjadikan kawasan perumahan khususnya penempatan rumah-rumah kos rendah lama supaya menjadi penempatan lebih kondusif dan dapat memenuhi keperluan penduduk setempat?
1.Dalam usaha untuk menjadikan kawasan perumahan dan penempatan rumah-rumah kos rendah lama yang usang, ketinggalan dan terpinggir agar lebih kondusif untuk didiami, Kerajaan Negeri melalui PLANMalaysia Selangor dan Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS) telah mengenal pasti pendekatan pembaharuan semula bandar (urban renewal) sebagai alternatif untuk meningkatkan kualiti hidup dan memperkasakan masyarakat bandar di Negeri Selangor.
2. Kerajaan Negeri melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor ke 29/2021 pada 8 September 2021 juga telah meluluskan pemakaian Garis Panduan Pembaharuan Semula (Urban Renewal) Penempatan Bandar Negeri Selangor untuk dijadikan sebagai panduan dan rujukan kepada Pihak Berkuasa Negeri, pihak berkuasa tempatan, pemaju hartanah serta pihak berkepentingan termasuk Perbadanan Pengurusan (Management Corporation (MC)) yang ingin melaksanakan pembangunan semula kawasan penempatan lama yang tidak lagi ekonomik untuk meningkatkan imej yang lebih mampan dan sejahtera untuk didiami dari aspek fizikal, ekonomi, sosial serta alam sekitar.
3. Di dalam garis panduan berkenaan, terdapat tiga (3) kaedah pembaharuan semula bandar telah diperincikan seperti berikut :
- Pembangunan Semula Bandar (Urban Renewal)
Mengubah struktur fizikal sedia ada secara holistik. Pembangunan ini melibatkan kerja–kerja pembersihan tapak, perobohan bangunan dan mengoptimumkan penggunaan tanah kepada pembangunan yang bersepadu dan berintensiti tinggi.
- Penjanaan Semula Bandar (Urban Regeneration)
Pemulihan sesuatu tapak yang lama, usang dan terbengkalai melalui pembinaan baharu atau penyediaan kemudahan infrastruktur tanpa memusnahkan keseluruhan reka bentuk, susun atur atau fungsi kawasan tersebut.
- Penyegaran Semula Bandar (Urban Revitilisation)
Penyegaran semula kawasan atau bangunan yang telah menunjukkan ciri-ciri usang dan berlaku kemerosotan aktiviti sosio-ekonomi.
Sehubungan dengan itu juga, Kerajaan Negeri turut menawarkan beberapa insentif kepada pihak yang berminat sebagai galakan kepada mereka untuk terlibat dalam pelaksanaan pembaharuan semula penempatan bandar lama di Negeri Selangor. Penawaran insentif ini adalah tertakluk kepada pertimbangan dan perakuan Jawatankuasa Induk Pembangunan Pembaharuan Semula Bandar yang dipengerusikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan & Pembangunan Bandar Lestari, Kebudayaan, Adat Istiadat & Warisan. Insentif-insentif yang ditawarkan adalah seperti berikut :
- Kenaikan kepadatan/densiti dan nisbah plot berdasarkan kepada lokasi cadangan dan kawasan sekitar;
- Hal-hal berkaitan tanah seperti proses tukar syarat tanah, pengambilan tanah dan sebagainya dipercepatkan;
- Tawaran diskaun 25% daripada kadar premium tanah nominal yang dikenakan;
- Pengecualian caj pemajuan dan Infrastructure Service Fund (ISF);
- Pengiraan kadar cukai tanah dan taksiran mengikut kategori tanah kosong sehingga pemilikan kosong (vacant posession) diperolehi atau maksimum 3 tahun atau mana-mana yang terdahulu; dan
- Pengecualian syarat penyediaan Rumah Selangorku (RSKU).
-
Berapa banyakkah peruntukan yang disediakan untuk tujuan menaiktaraf fasiliti dan kemudahan penempatan yang sedia ada?
Kerajaan Negeri melalui Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS) telah mewujudkan satu skim yang dinamakan Skim CERIA (Caring Government For Residents’ Improvement Aid) sejak dari tahun 2011 dan ianya masih dilaksanakan sehingga kini. Skim ini menyediakan sejumlah peruntukan kewangan untuk bantuan membaik pulih pangsapuri-pangsapuri kos rendah lama dengan mengecat semula bangunan, membaik pulih bumbung, membaiki dan menggantikan lif serta sistem retikulasi air bersih yang telah rosak bagi melahirkan suasana kehidupan yang lebih harmoni dan kondusif di kalangan penduduk setempat.
Menjawab persoalan berkaitan peruntukan kewangan, pelaksanaan Skim ini turut juga melibatkan perkongsian kos di antara Badan Pengurusan Bangunan (JMB) dengan Kerajaan Negeri. Bagi pangsapuri kos rendah, kos projek ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri, namun begitu bagi pangsapuri kos sederhana rendah, 10% daripada kos projek akan ditanggung oleh JMB dan selebihnya 90% oleh Kerjaan Negeri.
Peruntukan yang disediakan oleh Kerajaan Negeri pada setiap tahun adalah berbeza-beza bergantung kepada jenis projek baik pulih dan jumlah skim pangsapuri yang dikenalpasti. Pada tahun 2023, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan dana sebanyak RM7 juta bagi pelaksanaan Skim ini dan pada tahun ini (tahun 2024) Kerajaan Negeri sekali lagi memperuntukkan dana sebanyak RM7 juta untuk program yang sama.
Sejak dari awal pelaksanaan, Skim CERIA telah memberi manfaat kepada 390 skim pangsapuri kos rendah dan kos sederhana rendah di seluruh Negeri Selangor. Pada tahun 2023 sebanyak 18 skim pangsapuri telah terpilih sebagai penerima Skim ini, manakala pada tahun ini sebanyak 15 skim pangsapuri lagi telah dipilih. Berdasarkan kepada jumlah keseluruhan 33 skim pangsapuri (10,227 bilangan petak) yang menerima manfaat Skim CERIA ini (tahun 2023 dan tahun 2024), dianggarkan seramai 51,135 isi rumah telah mendapat manfaat dan kesan positif dari program yang dilaksanakan.