Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024
305) TABUNG BENCANA PERTANIAN
Tahun: 2024
Sesi: 3
Isu: n/a
Adun: Y.B. Dato' Harrison Bin Hassan
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Selain Tabung Bencana Khas yang disasarkan untuk membantu mangsa-mangsa banjir, adakah Kerajaan Negeri ada menyediakan tabung kecemasan tetap yang dikhususkan untuk sektor pertanian dan tanaman yang rosak akibat bencana tersebut?
Setakat ini Kerajaan Negeri tiada tabung kecemasan yang dikhususkan untuk sektor pertanian yang terjejas akibat bencana banjir. Namun, Kerajaan Negeri sentiasa membantu para petani, penternak dan nelayan yang terkesan akibat bencana alam yang berlaku sama ada dengan pemberian bantuan input dan peralatan atau bantuan wang tunai kepada penerima yang layak.
Manakala untuk bantuan peringkat persekutuan pula adalah Peruntukan Pembangunan Semula Projek Agromakanan (PPSPA). Peruntukan ini adalah untuk meringankan beban petani, penternak dan nelayan yang terjejas bagi memulakan atau membangunkan semula projek pertanian mereka yang musnah atau terjejas akibat banjir. Bantuan ini juga turut diberikan dalam bentuk input, peralatan dan pembaikan infrastruktur.
-
Apakah langkah yang boleh diambil oleh para petani dan pekebun yang menanggung kerugian akibat kerosakan tanaman untuk mendapatkan bantuan daripada Kerajaan Negeri?
Petani atau usahawan yang mengalami kerugian akibat kerosakan tanaman disebabkan bencana perlu melaporkan kejadian tersebut kepada Pejabat Pertanian Daerah (PPD) dengan memberikan laporan polis, gambar kerosakan serta nilai kerosakan tanaman melalui borang yang disediakan di PPD. Pihak PPD akan turun untuk melakukan siasatan, pengesahan dan penilaian. Setelah selesai PPD akan mengangkat laporan tersebut ke Jabatan Pertanian Ibu Pejabat untuk diangkat ke pihak Kerajaan Negeri (UPEN) bagi tujuan bantuan Kerajaan Negeri pada masa tersebut.