Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024
287) KES MURTAD ATAU KELUAR DARI ISLAM DARI TAHUN 2020-2024
Tahun: 2024
Sesi: 3
Isu: n/a
Adun: Y.B. Tuan Sallehen Bin Mukhyi
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Mohon nyatakan alasan diberikan untuk keluar dari islam.
Seksyen 61(3)(b)(x) dan (xi) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 memperuntukkan bidang kuasa Mahkamah Tinggi Syariah dalam membuat pengisytiharan bahawa seseorang itu bukan lagi orang Islam atau pengisytiharan bahawa seseorang yang telah mati itu ialah seorang Islam atau sebaliknya pada masa kematiannya. Oleh yang demikian, bidang kuasa yang diperuntukkan oleh undang-undang kepada Mahkamah Tinggi Syariah bukanlah permohonan untuk murtad atau pun keluar dari Islam sebaliknya permohonan untuk mendapatkan satu pengisytiharan status agama sama ada seseorang itu beragama Islam atau sebaliknya.
Alasan yang sering digunakan dalam membuat permohonan perisytiharan status agama ini adalah sebagaimana berikut:
- Pemohon tidak lagi beramal dengan ajaran Islam setelah memeluk agama Islam (kebiasaannya berlaku disebabkan pemelukan Islam oleh kerana perkahwinan dan pemohon telah bercerai);
- Pemohon dipelihara oleh ahli keluarga yang bukan Islam sejak kecil yang menyebabkan pemohon tidak pernah beramal dengan ajaran Islam; dan
- Pemohon mendakwa proses pengislaman yang dilalui sewaktu memeluk agama Islam tidak mengikut proses yang betul.
-
Jumlah dan perincian mereka yang menarik balik permohonan.
Berikut adalah jumlah pendaftaran bagi kes perisytiharan status agama dari tahun 2020 hingga 2024:
Tahun Jenis Kes
Pengisytiharan status agama Pengisytiharan status agama si mati Daftar Tarik Balik Daftar Tarik Balik 2020 48 9 Kod kes belum diwujudkan
2021 48 1 2022 46 6 2023 54 6 1 0 2024 (setakat 30 September 2024)
27 2 0 0 JUMLAH 223 24 1 0 -
Strategi kerajaan negeri dalam menanganinya.
Bagi menangani isu murtad dari kalangan Muallaf, MAIS melalui Lembaga Zakat Selangor (LZS) telah melaksanakan inisiatif pembangunan asnaf muallaf dengan memberi tumpuan kepada aspek kerohanian dan jati diri.
Antara lain inisiatif ini turut merangkumi strategi merangkumi aspek modul yang komprehensif, guru yang proaktif, masyarakat yang sensitif dan agensi yang responsif.
LZS turut menyediakan seramai 196 Guru Pembimbing Asnaf Muallaf yang mempunyai tauliah dan melalui proses tapisan e-Sistem Tapisan Keutuhan (eSTK) di seluruh negeri Selangor.
Guru Pembimbing Asnaf Muallaf ini turut menyampaikan modul standard yang telah diterbitkan oleh pihak LZS. Modul yang mengandungi tiga tahap ini merangkumi aspek Aqidah dan Ibadah bagi memastikan asas fardhu ain para muallaf berada pada tahap yang terbaik.
Tidak hanya menyentuh soal ibadah dan kerohanian. Pembangunan kepada muallaf turut menekankan aspek ekonomi. Dengan harapan, para muallaf tidak akan berubah hatinya akibat daripada kesempitan hidup.
Tambahan itu, Kerajaan Negeri Selangor melalui Majlis Agama Islam Selangor, tidak ada satu enakmen atau prosedur yang membenarkan orang Islam untuk murtad. Ini selaras dengan peruntukan sedia ada di bawah seksyen 61(3)(b)(x) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor 2003 (EPAINS), yang lebih bersifat semakan status agama bagi seseorang iaitu pengisytiharan bahawa seseorang itu bukan lagi Islam.
Pengendalian kes dibawah seksyen 61(3)(b)(x) (EPAINS 2013), adalah sebagai kes mal yang bertujuan membuat semakan status agama pemohon yang digunakan untuk berdakwah serta menyampaikan Islam. Atas perintah mahkamah, pemohon datang dan menjadi pelanggan di Unit Khidmat Nasihat Jabatan Mufti Negeri Selangor. Sesuai dengan prinsip, Islam adalah hak Allah SWT, maka piagam pelanggan Unit Khidmat Nasihat berbeza dengan mana-mana piagam pelanggan jabatan atau agensi lain. Tidak tertulis, tetapi yang tersiratnya adalah “ Tidak akan beri apa yang dikehendaki dan hanya akan diberi apa yang zahirnya tidak dikehendaki ”. Pendekatannya ialah menyantuni sesuai dengan peranan daie kepada mad’u atau perawat kepada pesakit, iaitu mengharapkan kurniaan hidayah dan kesembuhan daripada Allah SWT.