Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024
281) INTITUT LATIHAN DAKWAH SELANGOR (ILDAS)
Tahun: 2024
Sesi: 3
Isu: n/a
Adun: Y.B. Tuan Nushi Bin Mahfodz
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Bagaimana ILDAS telah mengubah pendekatan dakwah di Selangor dalam tempoh 2019-2024 ini?
Institut Latihan dan Dakwah Selangor (ILDAS) atau kini telah dijenamakan dengan nama baharu Institut Pemberdayaan Ummah Selangor (INSPES) merupakan sebuah institusi latihan yang berada di bawah kendalian Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Tujuan utama penubuhannya adalah untuk melatih warga kerja JAIS yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan di pelbagai peringkat termasuk komuniti yang bertanggung jawab secara langsung kepada JAIS seperti pegawai masjid, guru-guru sekolah agama, pendakwah bertauliah, penolong pendaftar perkahwinan dan lain-lain.
Dalam memastikan pendekatan dakwah di Selangor lebih berkesan, INSPES telah merangka program latihan kepada golongan pendakwah dengan lebih strategik dan inovatif bagi memastikan mesej Islam yang rahmah sampai kepada semua lapisan masyarakat, selaras dengan perubahan zaman dan keperluan semasa. Antara pendekatan kemahiran dakwah yang diperkenalkan ialah:
- Dakwah Berasaskan Komuniti dan Inklusif
- INSPES telah memperkenalkan pendekatan dakwah komuniti seperti program turun padang ke masjid, surau, dan pusat komuniti untuk memastikan penglibatan masyarakat secara langsung.
- Pendekatan inklusif: Fokus dakwah secara menyeluruh kepada semua golongan termasuk orang kurang upaya (OKU), remaja, wanita, dan mualaf, melalui program yang disesuaikan dengan keperluan mereka.
- Dakwah Digital dan Media Sosial
- INSPES telah memperkenalkan penggunaan media sosial dan platform digital untuk menyebarkan mesej dakwah, terutama ketika pandemik COVID-19.
- Ceramah atas talian, webinar, dan podcast Islamik diperkenalkan untuk memberi akses mudah kepada masyarakat.
- Pembangunan Modul Latihan Dakwah Profesional
- INSPES telah memperkenalkan modul latihan untuk pendakwah profesional bagi meningkatkan kemahiran komunikasi, psikologi dakwah, dan pemahaman isu semasa misalnya Program Sijil Dakwah dan Kepimpinan (PSDK), Kursus Profesionalisme Pendakwah Bertauliah Negeri Selangor dan lain-lain lagi.
- Kerjasama dijalankan dengan universiti dan institusi luar untuk membina modul yang lebih komprehensif dan berkesan.
-
Apakah kaedah yang digunakan oleh ILDAS bagi memastikan keberkesanan dakwah yang sedang dijalankan dalam masyarakat majmuk samada dakwah kepada orang Islam ataupun bukan Islam?
INSPES memperkenalkan pendekatan dakwah yang rahmah dalam mempromosikan Islam sebagai agama yang membawa rahmat untuk semua tanpa mengira bangsa, kaum dan agama. Bagi memastikan konsep dakwah tersebut berkesan, INSPES telah melaksanakan 58 kursus dengan melibatkan 2995 jumlah kumpulan sasar pendakwah sepanjang tahun 2019 hingga 2024.
Pendekatan konsep dakwah bil hal yang menekankan Islam sebagai agama yang mementingkan kedamaian dan keharmonian diterapkan kepada kumpulan sasar seperti para pendakwah, guru-guru sekolah, pelajar IPT, AJK masjid dan orang awam.
INSPES turut melatih para pendakwah dalam program dakwah berbentuk pelaksanaan program tanggungjawab sosial kepada masyarakat yang ditimpa musibah khususnya ketika pandemik COVID-19, musibah banjir dan sebagainya tanpa mengira latar belakang kaum dan agama.
Pendekatan dakwah lintas budaya dan bahasa turut diperkenalkan misalnya program dialog antara agama dan budaya bagi mempromosikan persefahaman dan keharmonian dalam masyarakat majmuk di Selangor.
Pendekatan kolaborasi strategik dengan agensi lain termasuk pihak kerajaan, swasta dan NGO turut dilakukan bagi memperluaskan impak dakwah kepada masyarakat di negeri Selangor.
-
Apakah inovasi dakwah yang telah ILDAS perkenalkan dalam tempoh lima tahun 2019-2024? Berapa ramai yang telah memeluk Islam hasil daripada program dakwah ILDAS?
Antara inovasi dakwah yang telah INSPES perkenalkan ialah dengan mempertingkatkan latihan kemahiran dakwah melalui penggunaan media sosial dan platform digital untuk menyebarkan mesej dakwah. Pelaksanaan program dakwah secara dalam talian diperkenalkan bagi memberi akses mudah kepada masyarakat.
INSPES turut menggunakan aplikasi latihan secara digital seperti sistem e-latihan, modul kursus digital, data studio, e-penceramah, e-galeri, e-bahan dan e-tempahan sebagai salah usaha inovasi ke arah mempertingkatkan kecekapan pengurusan latihan kepada pendakwah.
Berkenaan jumlah orang yang memeluk Islam hasil daripada program dakwah INSPES, dimaklumkan bahawa setakat ini INSPES tidak menjalankan program berbentuk pengislaman kerana ia berada di bawah fungsi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).