Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024
268) PERMAINAN WARISAN TRADISIONAL
Tahun: 2024
Sesi: 3
Isu: n/a
Adun: Y.B. Tuan Noor Najhan Bin Mohamad Salleh
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah ada permainan tradisional yang boleh menjadi identiti Selangor? Dan senaraikan.
Pada masa ini, permainan tradisional yang dijadikan identiti negeri Selangor adalah permainan Wau Kapal. Rekabentuk Wau Kapal ini mempunyai ciri-ciri yang unik iaitu satu-satunya wau tradisional Melayu yang menggunakan benda ciptaan manusia iaitu kapal berbanding lain-lain wau yang menggunakan unsur binatang. Ciri-ciri yang terdapat pada sebuah kapal Jong Melayu iaitu bentuk tiang layar, tiang bendera dan bentuk badan kapal dilihat mempengaruhi konsep rekabentuk Wau Kapal. Terdapat dua jenis Wau Kapal yang dimainkan iaitu Wau Kapal Tradisi dan Wau Kapal Moden dimana ianya dapat dibezakan melalui bentuk pada ekor wau.
Selain daripada wau kapal, terdapat permainan tradisional lain yang aktif di negeri Selangor seperti Gasing Pangkah, Congkak, Dam Haji dan Batu Seremban yang masih popular dimainkan oleh masyarakat Melayu Selangor sehingga kini. Orang ramai boleh merasai pengalaman bermain permainan tradisional dengan mengunjungi Muzium Permainan Tradisional yang terletak di Bukit Malawati Kuala Selangor.
-
Apakah bantuan yang boleh diberikan kepada penggiat permainan gasing pangkah tradisional di Bukit Kapar?
Kerajaan Negeri Selangor di bawah Jawatankuasa Tetap Kebudayaan turut menyediakan dana pemberian sumbangan kepada Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) bagi melaksanakan program/aktiviti yang tidak berorientasikan keuntungan serta menyokong pemeliharaan seni warisan negeri Selangor. Setiap pemohon termasuk penggiat permainan gasing pangkah tradisional di Bukit Kapar yang menepati syarat dan kelayakan ditetapkan berpeluang untuk dipertimbangkan untuk menerima geran bantuan sehingga RM5,000.00.