Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024
257) PEMBAKARAN HARAM DI KG. SUNGAI TANGKAS
Tahun: 2024
Sesi: 3
Isu: n/a
Adun: Y.B. Tuan Mohd Shafie Bin Ngah
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah tindakan pihak Jabatan Alam Sekitar bagi mengelak pembakaran haram di Kg. Sungai Tangkas terus berulang dan bagaimanakah kekerapan pemantauannya?
Isu pengurusan sampah adalah bukan di bawah bidangkuasa Jabatan Alam Sekitar (JAS). Punca pembakaran terbuka yang berlaku di Kg. Sungai Tangkas adalah berpunca daripada aktiviti pembuangan sampah pukal haram. JAS telah menyertai operasi gempur bersepadu ke tapak sampah haram di Kg. Sungai Tangkas bersama Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Langat (PTDHL) pada 21 Mei 2024 dan 12 Jun 2024 bagi mengambil tindakan di bawah bidangkuasa masing-masing.
Carian pemilikan lot-lot tanah yang terlibat dengan pembakaran terbuka di PTDHL iaitu lot nombor 908 dan 22584 telah dijalankan. Berdasarkan maklumat carian tersebut, JAS telah mengeluarkan surat arahan bertarikh 15 Ogos 2024 bagi mengarahkan pemilik tanah lot tersebut untuk mengambil langkah pencegahan pembakaran terbuka yang berpunca daripada aktiviti pelupusan sampah haram. Pemilik lot tanah yang berkaitan juga telah dimaklumkan akan tindakan perundangan seperti notis arahan, kompaun atau pendakwaan di mahkamah boleh dikenakan ke atas pemilik lot-lot berkenaan di bawah Seksyen 29(A), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Kertas siasatan di bawah Seksyen 29(A), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 bagi kes pembakaran terbuka di lot 22590 juga telah dilengkapkan JAS pada 14 Jun 2024 dan telah dikemukakan kepada Timbalan Pendakwaraya bagi mendapat keizinan tindakan selanjutnya.
Semakan dokumen dan maklumbalas notis arahan bertarikh 28 Oktober 2024 daripada pemilik di lot-lot berkenaan mendapati segala kerja-kerja baikpulih tanah dari aktiviti pembuangan sampah haram tersebut telah selesai dilaksanakan dan tiada aktiviti pembakaran terbuka sehingga kini dilaporkan.
Tindakan pemantauan secara berterusan dijalankan oleh JAS melalui rondaan Operasi Mencegah Pembakaran Terbuka (OMPT) pada hujung minggu dan juga cuti umum. Selain itu, JAS turut menjalankan tindakan pemantauan dan pengawasan melalui udara dengan menggunakan drone sebanyak tiga (3) kali iaitu pada 6, 12 dan 19 Oktober 2024.
Jabatan Alam Sekitar melalui program-program kesedaran awam juga telah membuat hebahan melalui media massa dan elektronik berhubung pencegahan pembakaran terbuka. Selain itu, JAS juga telah menjalankan kempen pencegahan pembakaran terbuka dengan menggunakan pamplet dan banner semasa aktiviti penguatkuasaan pembakaran terbuka.