Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024

243) KELIP-KELIP DAN ENGGANG

Tahun: 2024

Sesi: 3

Isu: n/a

Adun: Y.B. Tuan Mohd Razali Bin Saari

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah perbezaan habitat kelip-kelip di Kampung Belia 1 dari Kampung Kuantan dan bagaimanakah ekosistemnya dapat menyokong populasi kelip-kelip?

    Kelip-kelip Kampung Belia 1 boleh dilihat di rimbunan pohon berembang malah boleh dilihat daripada pelbagai pohon seperti pohon sea hibiscus, ficus micro carpa gold, buchida buchiran dan pohon rain tree (samanea saman). Perbezaan habitat antara kelip-kelip di Kampung Belia 1 dan Kampung Kuantan boleh dipengaruhi oleh faktor-faktor seperti lokasi geografi, ketersediaan sumber makanan, kelembapan dan pencemaran cahaya. Ekosistem yang menyokong kelip-kelip adalah ekosistem yang menyediakan kelembapan yang mencukupi, kawasan yang tidak tercemar dengan cahaya dan terdapat pelbagai sumber makanan yang penting untuk larva dan kelip-kelip dewasa.

  2. Apakah inisiatif yang diambil kerajaan bagi memelihara dan melindungi populasi kelip-kelip dan burung enggang yang ada di DUN Sungai Panjang?

    Terdapat beberapa inisiatif yang telah diambil oleh kerajaan untuk memelihara dan melindungi populasi kelip-kelip dan burung enggang adalah seperti berikut:

     

    • Kerajaan Negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan menguatkuasakan zon perlindungan dan larangan pembangunan di kawasan yang merupakan habitat utama bagi kelip-kelip dan burung enggang;

     

    • Lawatan pada waktu malam diperkenalkan dengan pengawasan yang ketat bagi memastikan tidak ada gangguan terhadap habitat semulajadi kelip-kelip tersebut; dan

     

    • Program kesedaran awam dan pendidikan diadakan di kalangan masyarakat setempat mengenai kepentingan melindungi kelip-kelip dan burung enggang yang bertujuan untuk menggalakkan masyarakat agar lebih peka terhadap ancaman yang dihadapi dan tindakan yang boleh diambil untuk melindungi haiwan tersebut.
  3. Apakah spesies burung enggang yang paling banyak ditemui di DUN Sungai Panjang dan apakah ancaman terbesar kepada habitat burung enggang di kawasan ini?

    Spesis burung enggang yang paling banyak ditemui adalah Burung Enggang Kekabu (Buceros rhinoceros) yang juga dikenali sebagai Hornbill. Burung enggang ini merupakan salah satu spesis burung yang ikonik di Asia Tenggara dan hanya ditemui di hutan-hutan hujan tropika yang masih terpelihara, termasuk di sekitar kawasan Sungai Panjang. Ancaman terbesar terhadap habitat burung enggang di kawasan ini adalah aktiviti pemburuan dan pembalakan haram di mana burung tersebut memerlukan pokok-pokok besar untuk berlindung dan mencari makanan. Selain itu, pencemaran dan perubahan iklim juga boleh memberi impak kepada kestabilan ekosistem yang menyokong kehidupan burung enggang, selain  mengganggu pola cuaca dan kelangsungan tanaman yang menjadi sumber makanan utama burung tersebut.

Lampiran

Tiada Lampiran.