Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024

242) HOMESTAY DI TANAH PERTANIAN

Tahun: 2024

Sesi: 3

Isu: n/a

Adun: Y.B. Tuan Mohd Razali Bin Saari

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah telah lengkap Garis Panduan Pemutihan Inap Dusun di bawah P3S yang sedang dalam fasa untuk disemak semula bagi dimuktamadkan sebagai panduan kepada semua PBT?

    Untuk makluman, pihak Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) sebagai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) peneraju di Negeri Selangor telah menyediakan dan menerima pakai Garis Panduan

    Perancangan Pembangunan Penginapan Pelancongan Inap Dusun pada tahun 2019 di bawah Program Pemurnian Pelancongan Selangor (P3S). Garis panduan ini seterusnya telah ditambah baik dan diterima pakai pada tahun 2022 selaras dengan input-input yang dikenalpasti semasa semakan semua garis panduan tersebut yang dilaksanakan bersama-sama dengan agensi teknikal yang berkenaan dan pemegang taruh.

    Berdasarkan Garis Panduan Perancangan Pembangunan Penginapan Pelancongan Inap Dusun, premis yang mempunyai komposisi pembangunan melebihi ⅖ @ 40% (Rujuk Pekeliling Pengarah Tanah dan Galian Selangor Bilangan 4 Tahun 2020) perlu menukar syarat tanah kepada perniagaan. Sehingga Oktober 2024, sebanyak 21 permohonan telah diluluskan Kebenaran Merancang oleh MPHS yang mana mematuhi pembangunan tidak melebihi 40% dari keluasan keseluruhan tanah yang terlibat.

    Sebagai tambahan, hanya pihak MPHS sahaja yang menggunapakai garis panduan ini. Manakala di PBT lain, kebanyakkan pengusaha tidak menepati kriteria untuk di beri status Inap Dusun ini.

  2. Apakah bentuk penguatkuasaan yang telah diambil ke atas pengusaha pusat pelancongan yang tidak mengekalkan 70% aktiviti pertanian dari keluasan tapak tanah pertanian seperti diletakkan sebuah kapal terbang atas tanah pertanian sawah dalam kawasan Sekinchan serta nyatakan bilakah dilaksanakan tindakan tersebut?

    Pihak Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) telah mensyaratkan semua pemajuan yang dilakukan di atas tanah pertanian perlu mengemukakan permohonan Kebenaran Merancang perubahan material penggunaan tanah bagi tujuan pemutihan. Tiada lesen perniagaan akan dikeluarkan sekiranya syarat tersebut tidak dipatuhi. Buat masa ini, pihak MDSB dalam proses semakan dan meneliti semula permohonan kebenaran merancang daripada pengusaha sebelum sebarang tindakan penguatkuasaan diambil.

  3. Senaraikan bentuk tindakan tersebut yang telah diambil dalam tempoh 5 tahun lepas.

    Adalah dimaklumkan bahawa, tiada sebarang tindakan penguatkuasaan yang diambil dalam tempoh 5 tahun ini.

Lampiran

Tiada Lampiran.