Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024
207) PENDALAMAN DAN PEMBERSIHAN SUNGAI KLANG
Tahun: 2024
Sesi: 3
Isu: n/a
Adun: Y.B. Dato' Dr Ahmad Yunus Bin Hairi
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah status projek pendalaman dan pembersihan Sungai Klang?
Projek pendalaman Sungai Klang melibatkan kerja rekabentuk telah 100% disiapkan. Kerja-kerja pembinaan yang melibatkan pendalaman dan pelebaran serta pembinaan ban dan tebing telah mencapai kemajuan sebanyak 27.76% setakat 31 Oktober 2024. Kerja-kerja pendalaman dan pelebaran telah dilaksanakan sepanjang 1.4km yang merangkumi Zon 6 (Seksyen 17 ke Kg Padang Jawa) dan Zon 8 (Kota Kemuning ke Kg Bukit Lanchong) dengan panjang keseluruhan bagi kedua-dua zon adalah 9.2km.
Kerja-kerja pendalaman dan pelebaran dilaksanakan melalui pengoperasian dua (2) buah mesin Cutter Suction Dredger (CSD) di Zon 6 (Seksyen 17 ke Kg Padang Jawa sepanjang 5km) dan Zon 8 (Kota Kemuning ke Kg Bukit Lanchong sepanjang 4.2km). Satu (1) lagi mesin CSD akan tiba pada bulan Disember 2024 dan akan mula beroperasi pada Januari 2025 di Zon 7 (Seksyen 24 ke Taman Sri Muda sepanjang 5km). Kerja-kerja pendalaman ini akan disiapkan sepenuhnya pada 31 Julai 2026.
Kemajuan kerja agak perlahan disebabkan isu sampah yang berada di dasar sungai yang mengakibatkan gangguan terhadap operasi CSD. Selain itu, kerja-kerja pembinaan ban dan pengukuhan tebing mengalami kesukaran akses jalan masuk kerana terdapat tanaman yang diusahakan di atas rizab sungai oleh penduduk setempat.
Operasi kerja-kerja pembersihan di sepanjang 56km Sungai Klang masih diteruskan. Sehingga September 2024, jumlah sampah yang telah dikeluarkan dari Sungai Klang adalah sebanyak 90,721MT.
-
Apakah status pembangunan muka sauk sumber air LRA Sungai Rasau?
Pembangunan muka sauk sumber air LRA Sg. Rasau dilaksanakan oleh pihak Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air (PETRA). Pada awalnya projek ini dijangka akan dianugerahkan pada Januari 2024. Walau bagaimanapun, sehingga kini, status penganugerahan projek ini masih belum diputuskan.
Air Selangor telah mencadangkan Pelan Intervensi bagi mengatasi kelewatan penyiapan pembangunan muka sauk sumber air LRA Sg. Rasau. Satu mesyuarat peringkat tertinggi antara YAB Dato’ Menteri Besar Selangor dan YAB Timbalan Perdana Menteri (TPM)/Menteri PETRA telah diadakan pada 22 Oktober 2024.
Kerajaan Negeri Selangor juga telah mencadangkan agar Pelan Intervensi Sumber Air Rasau 700 JLH dilaksanakan dengan segera dengan kos sebanyak RM600 juta. TPM akan membawa perkara ini ke perhatian Kementerian Kewangan Malaysia (MOF).