Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024
160) PERUMAHAN MAMPU MILIK
Tahun: 2024
Sesi: 3
Isu: n/a
Adun: Y.B. Tuan Yew Jia Haur
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah inisiatif terkinian Kerajaan Negeri untuk menyediakan lebih banyak perumahan mampu milik kepada golongan B40 dan M40?
Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri amat prihatin dan komited dalam penyediaan Rumah Selangorku terutamanya kepada golongan B40 dan M40 agar mampu dibeli seterusnya memiliki rumah sendiri.
Menyedari hakikat ini, Kerajaan Negeri telah melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) telah mengambil langkah proaktif dengan memperkenalkan Dasar Perumahan Mampu Milik Negeri Selangorku (Rumah Selangorku 3.0) yang berkuatkuasa pemakaiannya bermula pada 03 Januari 2023.
Melalui dasar tersebut, pihak pemaju / pemilik tanah dikenakan syarat untuk membina Rumah Selangorku berdasarkan kepada keluasan pembangunan dan ianya mengikut Zon / kawasan pembangunan. Untuk kawasan bandar di Zon 1 dan Zon 2 pembangunan yang mana tapak pembangunan di bawah 5 ekar dikenakan syarat 20% Rumah Selangorku, 5 ekar hingga 10 ekar 20% Rumah Selangorku, 10 ekar hingga 20 ekar 30% Rumah Selangorku, 20 ekar hingga 50 ekar 40% Rumah Selangorku dan 50 ekar ke atas 40% Rumah Selangorku.
Harga jualan Rumah Selangorku 3.0 ini bermula dari RM114,750.00 hingga RM250,000.00 seunit dengan keluasan binaan dari 450 kaki persegi hingga 900 kaki persegi yang terdiri daripada jenis perumahan bertingkat dan bertanah.
Oleh itu, sekiranya terdapat cadangan pembangunan perumahan yang dikemukakan oleh pihak pemaju / pemilik tanah adalah menjadi keutamaan / tanggungjawab pihak LPHS untuk memastikan komposisi/ syarat pembangunan Rumah Selangorku tersebut dipatuhi berdasarkan Dasar Rumah Selangorku 3.0 bagi memastikan Rumah Selangorku berada di pasaran sekaligus boleh ditawarkan kepada pembeli yang layak termasuk golongan B40 hingga M40.
-
Apakah status terkini projek-projek perumahan mampu milik yang diumumkan di kawasan bandar dan luar bandar?
Untuk makluman Yang Berhormat, status terkini projek-projek perumahan mampu milik di kawasan bandar (Zon 1 dan Zon 2) dan luar bandar (Zon 3 dan Zon 4) adalah seperti berikut :
ZON JUMLAH PROJEK/ BIL UNIT STATUS 1 (Bandar) 135 / 88,787 Projek Siap = 36 (15,196) Pembinaan = 13 (7,644)
Perancangan = 86 (65,947)
2 (Bandar) 99 / 47,707 Projek Siap = 35 (10,818) Pembinaan = 10 (2,948)
Perancangan = 54 (33,941)
3 (Luar Bandar) 194 / 110,580 Projek Siap = 53 (15,630) Pembinaan = 31 (11,442)
Perancangan = 110 (83,508)
4 (Luar Bandar) 19 / 8,372 Projek Siap = 7 (933) Pembinaan = 3 (270)
Perancangan = 9 (7,182)
JUMLAH 447 / 255,449 Perincian status setiap projek tersebut adalah seperti jadual di Lampiran 1.