Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024

139) GAJI DAN PERUNTUKAN PWB

Tahun: 2024

Sesi: 3

Isu: n/a

Adun: Y.B. Tuan Preakas A/l Sampunathan

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Adakah kerajaan bercadang untuk menaikkan gaji dan peruntukan bagi PWB?

    Untuk makluman Yang Berhormat Kota Kemuning, bayaran kepada Penyelia Pusat Wanita Berdaya (PWB) adalah berbentuk elaun perkhidmatan di mana kadar gaji minima tidak terpakai kepada penyelia PWB. Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri akan mengkaji cadangan kenaikan elaun ini bergantung kepada kedudukan semasa kewangan Kerajaan Negeri.

  2. Selain it, adakah kerajaan akan membuat satu pembaruan konsep program PWB mengikut trend terkini?

    Pihak Kerajaan amat menggalakkan Penyelia PWB melakukan pembaharuan dalam konsep program yang dijalankan di DUN mengikut trend terkini selagi ianya bertepatan dengan objektif penubuhan PWB iaitu pemberdayaan golongan wanita di Selangor. Pelaksanaan program oleh Penyelia PWB perlu dirancang berdasarkan analisa keperluan semasa lokaliti tersebut untuk menarik minat golongan wanita setempat bagi menyertai program-program yang dijalankan oleh Penyelia PWB.

     

    Oleh itu, penganjuran program yang bertepatan dengan trend semasa adalah amat penting bagi menggalakkan peserta hadir ke program yang dianjurkan, dalam masa yang sama usaha pemberdayaan wanita di Negeri ini dapat dilaksanakan secara lebih efisyen.

     

    Antaranya, selaras dengan Dasar dan Pelan Tindakan Wanita Selangor 2024-2026 yang telah dilancarkan tahun ini, melalui Matlamat 5: Langkah 5; Menggandakan usaha untuk melibatkan wanita dan kanak-kanak perempuan dalam sukan dan aktiviti fizikal, Kerajaan Negeri sedang merancang untuk menganjurkan satu acara sukan utama tahunan untuk wanita dan kanak-kanak perempuan miskin bandar dan luar bandar di setiap DUN yang akan digerakkan oleh Pusat Wanita Berdaya di setiap DUN.

     

    Selain itu, melalui Matlamat 7: Langkah 1; Pemberdayaan Wanita dalam Digitalisasi dan Inovasi; Kerajaan Negeri melalui Pusat Wanita Berdaya akan mempergiatkan modul bagi memupuk kesedaran kanak-kanak perempuan dalam bidang STEM serta menambah komponen dan elemen Artificial Intelegence (AI) ke dalam program-program wanita di akar umbi. Di samping itu, melalui Langkah 2; Meraikan Bakat Wanita Seni Selangor pula, Kerajaan Negeri melalui PWB juga akan membantu usaha memasarkan produk artis wanita dan usahanita melalui platform digital dan peluang perniagaan.

Lampiran

Tiada Lampiran.