Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024
112) INDUSTRI TEMBAKAU
Tahun: 2024
Sesi: 3
Isu: n/a
Adun: Y.B. Tuan Dr. Quah Perng Fei
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Berapakah jumlah populasi perokok di Selangor?
Untuk makluman Tuan Yang di Pertua, berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (National Health and Morbidity Survey, NHMS) 2023 menunjukkan prevalens perokok konvensional berumur ≥ 15 tahun di Selangor dianggarkan seramai 685,594 (12.5%) orang. Sementara itu, prevalens perokok E-cigarette/ vape berumur ≥ 15 tahun di Selangor pula dianggarkan seramai 322,519 (5.9%) orang.
-
Apakah peraturan untuk mengurangkan jumlah perokok terutamanya remaja bagi mengurangkan kesan terhadap kesihatan?
Untuk makluman Tuan Yang di Pertua, Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 [Akta 852] menunjukkan komitmen Kementerian Kesihatan Malaysia bagi mengurangkan kesan buruk amalan merokok, termasuk aktiviti pemasaran serta promosi tidak beretika yang menyasarkan golongan kanak-kanak dan remaja.
Di bawah Seksyen 9, Akta 852 tiada seorang pun boleh mempromosi atau menaja, atau mengambil bahagian dalam apa-apa perkiraan yang mempromosikan apa-apa produk merokok, yang dimaksudkan atau berkemungkinan untuk menggalakkan mana-mana orang untuk merokok atau dipromosikan sebagai produk berhenti merokok.
Mana-mana orang yang melanggar peruntukan ini melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan:
- Bagi kesalahan pertama didenda tidak melebihi RM 20,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya; dan
- Bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi RM 30,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
-
Apakah inisiatif untuk menyediakan kawasan merokok yang terhad dan terpilih sahaja bagi perokok bagi mengurangkan asap rokok sekunder (SECOND HAND SMOKE) dan sampah puntung rokok seperti yang dilihat di Jepun?
Terdahulu, di bawah Peraturan 11(2), Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004, Akta Makanan 1983 [Akta 281], Menteri boleh, apabila permohonan dibuat, meluluskan mana-mana kawasan sama ada secara tetap atau bagi tempoh yang ditentukan olehnya sebagai kawasan merokok. Ini telah menyebabkan Malaysia tidak memenuhi kehendak di bawah Artikel 8 yang digariskan di bawah World Health Organization Framework Convention on Tobacco Control (WHO FCTC) iaitu protection from exposure to tobacco smoke.
Oleh yang demikian, kini di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 [Akta 852], peruntukan tersebut telah pun digugurkan.