Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024
100) USAHA MEMBERSIHKAN SUNGAI
Tahun: 2024
Sesi: 3
Isu: n/a
Adun: Y.B. Puan Wong Siew Ki
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Sila nyatakan tahap pemcemaran Sungai Kuyoh di dalam kawasan DUN Seri Kembangan dan DUN Seri Serdang.
Kerajaan Negeri Selangor melalui LUAS telah melaksanakan program pemantauan blok kualiti air ataupun dikenali sebagai River Monitoring Program (RMP) di outfall sepanjang rizab sungai utama Negeri Selangor dan juga anak-anak sungai yang berisiko. Keluasan sub lembangan Sungai Kuyoh ialah 12,843.34 hektar dengan lebih 70% telah dibangunkan dengan pelbagai aktiviti ekonomi seperti aktiviti industri, perumahan dan perbandaran.
Berdasarkan pensampelan yang dijalankan LUAS pada 14 Ogos 2024, tahap Indeks Kualiti Air (IKA) di outfall sub lembangan Sungai Kuyoh adalah Kelas III (Sederhana Tercemar) berikutan peningkatan parameter Permintaan Oksigen Kimia (BOD) iaitu 13mg/l dan Ammoniakal Nitrogen iaitu 8mg/l. Berdasarkan keputusan pensampelan yang dijalankan ini didapati potensi pencemaran adalah dari aktiviti industri dan perbandaran di samping faktor peningkatan pelepasan air kumbahan atau air kembalian/air limbah daripada kawasan perumahan yang turut menyumbang kepada penurunan kualiti air di sub Lembangan Sungai Kuyoh.
-
Apakah usaha kerajaan untuk membersihkan atau memulihkan sungai yang tercemar?
Melalui RMP, LUAS mengenal pasti lokasi-lokasi berkaitan di kawasan sungai yang mengalami permasalahan kualiti air. Tindakan dan usaha pembersihan seterusnya dilaksanakan melalui Projek Pemuliharaan Kualiti Air Di Lembangan Sungai Negeri Selangor. Projek ini melibatkan ketiga-tiga lembangan sungai utama iaitu Sungai Langat, Sungai Selangor dan Sungai Klang dengan anggaran peruntukan RM 600,000 pada tahun 2024 dan akan dipertingkatkan kepada RM 3 juta pada tahun 2025.
Objektif pelaksanaan projek pemuliharaan kualiti air sungai ini adalah bagi membersihkan dan meningkatkan kualiti sumber air dengan penggunaan produk bioteknologi atau green technology yang mesra alam. Antara lokasi projek pemuliharaan yang telah dilaksanakan LUAS adalah seperti berikut:
- Lembangan Sungai Langat
- Parit Manggis, Teluk Panglima Garang;
- Parit Jalan Suasa, Banting;
- Anak Sungai Langat, Taman Langat Jaya;
- Anak Sungai Langat berhampiran Sungai Kelambu, Kuala Langat; dan
- Pencemaran Najis Babi, aliran Parit Jalan B323, Tanjung Sepat.
- Lembangan Sungai Selangor
- Sungai Gong, Kawasan Perindustrian Belmas Johan Rawang Fasa 1;
- Parit Jalan Melati, Bandar Melawati, Kuala Selangor;
- Sungai Gong, Kawasan Perindustrian Belmas Johan Rawang Fasa 2; dan
- Sungai Bakau, Jalan Pusat BCH 1B, Bandar Country Homes.
- Lembangan Sungai Klang
- Pemuliharaan Dan Pembersihan Sampah di dalam Aliran Sungai Sementa Berdekatan Pangkalan Nelayan Sementa, Klang;
- Kerja-kerja Pemuliharaan Kualiti Air Tasik Pandan Perdana, Ampang;
- Parit Jalan Jangur 28/43, Taman Alam Megah, Seksyen 28, Shah Alam.