Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024

90) MASALAH PEMBANGUNAN RUMAH PAM DAN TANGKI MENARA

Tahun: 2024

Sesi: 3

Isu: n/a

Adun: Y.B. Puan Pang Sock Tao

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah rancangan kerajaan untuk menyelesaikan isu lama Pembangunan Rumah Pam dan Tangki Menara Taman Bukit Bujang Kuala Kubu Baharu? Jelaskan dengan terperinci tentang kronologi kes ini.

    Mesyuarat Isu Bekalan Air Dan Status Struktur Tangki Air, Rumah Pam Dan Tangki Sedut Bagi Cadangan Projek Pembesaran Kampung – Taman Desa Bukit Bujang, Kuala Kubu Bharu, Mukim Ampang Pechah, Daerah Hulu Selangor, Selangor Darul Ehsan Untuk : Tetuan Ark Development Sdn. Bhd. Bil. 1/2021 pada 18 Mac 2021 telah memutuskan terdapat 3 perkara yang perlu dipatuhi bagi menyelesaikan isu ini iaitu: –

     

    1. Ujian kebocoran tangki air yang mana pihak pemaju perlu mempercepatkan kemajuan kerja dengan berhubung semula dengan pihak pengurusan Air Selangor dan kos ditanggung sepenuhnya oleh pihak pemaju serta pengesahan oleh pihak Air Selangor. (Tindakan ARK Development Sdn Bhd dan Pengurusan Air Selangor)
    2. Surat sokongan akan dikeluarkan oleh pihak Pengurusan Air Selangor bagi memastikan proses pengambilalihan berjalan dengan lancar dan mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan. (Tindakan Pengurusan Air Selangor).
    3. Proses serahan tapak tangki air oleh pemaju kepada pihak Pengurusan Air Selangor, hendaklah dalam keadaan yang teratur dan mematuhi spesifikasi yang ditetapkan dalam tempoh 3 bulan. (Tindakan ARK Development Sdn Bhd dan Pengurusan Air Selangor)

     

    Kronologi untuk makluman seperti di lampiran A.

    Isu pembangunan Rumah Pam dan Tangki Menara Taman Bukit Bujang di Kuala Kubu Baharu telah berlarutan sekian lama disebabkan oleh kegagalan pemaju menyiapkan kerja-kerja yang tertangguh. Beberapa mesyuarat bersama pemaju telah diadakan sebelum ini dan yang terakhir adalah mesyuarat yang melibatkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) pada 24 Mac 2023 di mana pihak SPAN telah mengarahkan pemaju untuk menyiapkan sistem bekalan air kekal dan menyerahkannya kepada Air Selangor.

  2. Adakah benar penduduk di Taman Bukit Bujang terpaksa menanggung bil air dengan kadar industri atas kelewatan pihak pemaju? Kalau ya, adakah ia adil kepada penduduk yang tidak berpendapatan tinggi di luar bandar? Apakah tindakan diambil oleh Air Selangor dan bilakah Air Selangor boleh selesai masalah tersebut?

    Bekalan air ke Taman Bukit Bujang sehingga kini adalah masih melalui pemaju di mana pemaju menggunakan bekalan air bagi tujuan pembinaan (construction supply) untuk kegunaan penduduk sehingga sistem bekalan air kekal Taman Bukit Bujang disiapkan dan diserahkan oleh pemaju. Bekalan air pembinaan adalah di dalam kategori bukan domestik dan kadar yang digunakan adalah kadar tarif industri. Berdasarkan keadaan semasa, penduduk terpaksa menanggung kadar industri memandangkan sistem bekalan air kekal masih belum diserahkan oleh pihak pemaju kepada Air Selangor. Perkara ini juga telah dibincangkan beberapa kali bersama pihak pemaju dan melalui mesyuarat terakhir yang melibatkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) pada 24 Mac 2023, pihak SPAN telah mengarahkan agar pemaju menyegerakan penyiapan dan pengujian sistem bekalan air kekal termasuk menyelesaikan isu tanah dan menyerahkannya kepada Air Selangor bagi tujuan operasi.

     

    Berdasarkan status terkini, pemaju masih di dalam proses penyerahan sistem bekalan air kekal kepada Air Selangor dan terdapat beberapa perkara yang masih belum dipatuhi oleh pihak pemaju melibatkan status tanah tapak tangki dan juga permohonan sokongan sistem Mekanikal dan Elektrikal (M&E).

     

    Air Selangor mencadangkan agar pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dapat membantu untuk menyelesaikan masalah ini memandangkan KPKT mempunyai kuasa untuk mendesak pemaju dan mengisytiharkan pembangunan ini sebagai ‘Projek Sakit’ dan secara tidak langsung akan memberikan tekanan kepada pihak pemaju. Perbincangan bersama Pejabat Tanah dan Galian (PTG) juga perlu dilakukan untuk menyelesaikan isu tanah yang melibatkan tapak tangki air yang akan diserahkan sebagai rizab bekalan air. Air Selangor bersedia untuk mempercepatkan proses penyerahan setelah isu-isu berkaitan diselesaikan.

  3. Adakah syarikat tersebut telah disenarai hitam oleh Pihak Berkuasa Tempatan? Apakah rancangan kerajaan untuk memastikan syarikat yang gagal mematuhi syarat-syarat pihak berkuasa tidak terlibatkan lagi dalam pembangunan setempat?

    MPHS tiada kuasa untuk menyenarai hitam syarikat pemaju kerana kuasa tersebut berada di bidang kuasa Jabatan Perumahan Negara, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Selain itu, pihak pemaju perlu bertanggungjawab bagi penyelesaian isu bekalan air di Taman Desa Bukit Bujang. Namun pihak Majlis mengambil pendekatan di mana selagi isu bekalan air ini tidak dapat diselesaikan segala permohonan pembangunan yang dikemukakan oleh pihak pemaju akan ditangguhkan.