Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024

34) PENGANGKUTAN AWAM DUN RAWANG

Tahun: 2024

Sesi: 3

Isu: n/a

Adun: Y.B. Tuan Chua Wei Kiat

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Adakah rancangan kerajaan untuk bina railway transit di kawasan Rawang?

    Untuk makluman Yang Berhormat Rawang, Kajian Pelan Induk Pengangkutan Awam Negeri Selangor dan Rancangan Tempatan Majlis Perbandaran Selayang 2030 (Penggantian) telah memberi tumpuan bagi mengintegrasikan cadangan laluan rel baharu dengan laluan sedia ada untuk liputan yang lebih luas dan efisien di kawasan Rawang. Cadangan laluan tersebut adalah (rujuk lampiran untuk perincian jajaran):

     

    1. Laluan utara bagi pengangkutan barangan Keretapi Tanah Melayu (KTM) bagi menghubungkan kawasan Serendah dengan Klang dengan mengambilkira potensi semasa Pelabuhan Klang;
    2. Laluan LRT Lingkaran 2 Utara (Rawang – Shah Alam) yang bersambung dengan sambungan MRT Barat;
    3. Sambungan LRT Gombak – Selayang – Kepong yang menghubungkan antara Stesen KTM Rawang, Stesen KTM Batu Caves, Stesen LRT Gombak dan Stesen KTM Kepong.

     

    Kajian Pelan Induk Pengangkutan Awam Negeri Selangor juga mencadangkan 2 hub pertukaran antara KTM/LRT/Bas bertempat di Rawang dan Kuang bagi mengintegrasikan cadangan laluan rel baru, Laluan LRT Lingkaran 2 Utara (Rawang-Shah Alam) dengan laluan rel KTM sedia ada seperti Komuter dan ETS.

     

    Selain itu, Kajian Pelan Induk Pengangkutan Awam Negeri Selangor mencadangkan untuk Laluan LRT Lingkaran 2 Utara (Rawang – Shah Alam) bersambung dengan laluan sambungan MRT Barat menghubungkan Sg. Buloh-Elmina West-Klang di stesen Elmina West.

     

    Walau bagaimanapun, kesemua hasil cadangan berdasarkan kajian oleh Kerajaan Negeri tersebut merupakan cadangan-cadangan permulaan ini adalah sebagai titik permulaan untuk kajian yang lebih terperinci untuk menambahbaik kawasan ini sekaligus penduduk dari kawasan sekitar dapat bergerak ke Utara dan Selatan dengan lebih pantas menggunakan perkhidmatan rel terutama di waktu puncak, manakala kebolehlaksanaan projek pengangkutan seperti LRT dan MRT juga banyak bergantung kepada keupayaan oleh Kerajaan Pusat.

  2. Adakah kerajaan merancang untuk memberi perkhidmatan feeder bus MRT kepada penduduk Rawang ke stesen MRT yang berhampiran?

    Untuk makluman Yang Berhormat Rawang, Majlis ada menyediakan perkhidmatan Bas Smart Selangor di laluan MPS3 (SK Baru Arang – Masjid Sg Buloh) yang menjadikan MRT Sg Buloh (MA955) sebagai salah satu perhentian di dalam laluannya. Walaubagaimanapun, buat masa sekarang tiada feeder bus MRT dan Bas Smart Selangor yang memberi perkhidmatan perantara di kawasan Rawang ke MRT Sg. Buloh.

Lampiran

Tiada Lampiran.