Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024
19) EKO PELANCONGAN DI NEGERI SELANGOR
Tahun: 2024
Sesi: 3
Isu: n/a
Adun: Y.B. Tuan Azmizam Bin Zaman Huri
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah strategi Kerajaan Negeri dalam mempromosikan eko-pelancongan di Selangor?
Kerajaan Negeri melalui Tourism Selangor (TSSB) dengan kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan sedang bergiat aktif dalam mempromosikan segmen eko-pelancongan di Sepang, Kuala Langat, Kuala Selangor dan Hulu Selangor. Promosi ini dilaksanakan melalui pelbagai program dan aktiviti yang merangkumi kempen pelancongan untuk pasaran domestik dan antarabangsa. Untuk menarik pelancong tempatan, kempen ‘Nak Bercuti, Pusing Selangor Dulu!’ yang dilancarkan pada tahun 2021 masih giat dijalankan, sementara kempen ‘Splendid Selangor, Take Me Anywhere’ disasarkan kepada pasaran antarabangsa.
Selain itu, Hos Komuniti Setempat Selangor (HKSS) yang mempunyai pengetahuan luas mengenai destinasi serta budaya tempatan akan turut terlibat sebagai pemandu pelancong bagi membantu pelancong menerokai destinasi eko-pelancongan di Negeri Selangor. Di samping itu, melalui program FAM Trip, para pengamal media, Agensi Pelancongan dalam dan luar negara serta pemegang taruh akan ditawarkan sesi lawatan bagi tujuan merangka pakej pelancongan yang komprehensif buat para pelancong.
-
Apakah destinasi eko-pelancongan baru yang sedang dikembangkan?
Beberapa destinasi eko-pelancongan baharu di Negeri Selangor sedang dibangunkan dengan menyediakan pelbagai aktiviti rekreasi seperti Pantai Bagan Lalang, Sungai Sepang Kecil dan kawasan paya bakau di pesisirannya. Selain itu, aktiviti eko-pelancongan seperti White Water Rafting dan Paragliding telah diperkenalkan di kawasan Hulu Selangor yang sememangnya kaya dengan kepelbagaian alam semula jadi seperti hutan simpan, sungai dan air terjun.
-
Bagaimana kerajaan memastikan kelestarian destinasi eko-pelancongan di negeri ini?
Kerajaan Negeri memainkan peranan penting dalam memastikan kelestarian destinasi eko-pelancongan dengan mengambil beberapa langkah strategik seperti berikut:
- Memastikan pembangunan infrastruktur di kawasan eko-pelancongan dilaksanakan dengan mengambil kira aspek pemeliharaan alam sekitar;
- Melaksanakan program kesedaran mengenai kepentingan pemeliharaan alam sekitar dan ekosistem tempatan kepada pelancong dan masyarakat setempat;
- Melaksanakan usaha pemuliharaan kawasan sensitif seperti hutan, taman eko rimba dan taman rekreasi yang menjadi tumpuan utama eko-pelancongan. Ini termasuk penguatkuasaan undang-undang terhadap pemusnahan habitat, pemburuan haram dan pencemaran; dan
- Memastikan penglibatan komuniti setempat dalam pengurusan eko-pelancongan seperti malim gunung dan geo guide. Ini bukan sahaja memberi faedah ekonomi kepada komuniti malah dapat meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menjaga kelestarian alam sekitar yang terdapat di kawasan tersebut.